Tuesday, August 14, 2007

ABDUL RAZAK AHMAD - A great loss

PERGINYA SEORANG PEJUANG RAKYAT

Oleh Hassan Karim

ABDUL RAZAK AHMAD bekas Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan peguam terkenal telah meninggal dunia pada 12 haribulan Ogos 2007 jam 1.20 petang di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dalam usia 62 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri Hajah Kintan Binti Hj Mohd Amin, empat orang anak. Mereka ialah Zulkifli, Julia, Faizal dan Azlina serta enam orang cucu. Jenazah Abdul Razak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmodiaah, Johor Bahru.

Razak dilahirkan di Johor Bahru pada bulan Jun 1945. Razak mendapat pendidikan rendah dan menengahnya di Johor Bahru.

Semasa hayatnya Abdul Razak telah berkhidmat sebagai seorang peguam dan ahli politik yang dikenang kerana kegigihannya membela hak dan kepentingan rakyat miskin dan golongan yang tertindas. Dalam satu wawancara dengan majalah Malaysian Business (October 16, 1994) Razak berkata: “At times I feel quite disheartened…whether it’s worth the struggle. But looking back, I have no regrets for not joining the mainstream. I would like to be remembered as someone who championed the underdog and who contributed towards the creation of a fair society,”.

Razak memasuki Universiti Singapura pada tahun 1963 dan lulus dengan kepujian dalam ijazah undang-undang pada tahun 1967. Beliau aktif dalam gerakan pelajar menentang regim Lee Kuan Yew semasa di Universiti Singapura. Akibatnya Razak ditahan dan dibuang dari Singapura. Walaupun pejabat guaman Razak terletak di tingkat 11 Merlin Tower, Johor Bahru yang dari tingkapnya boleh melihat Singapura begitu dekat sekali tetapi hingga kini Razak tidak dibenarkan masuk ke Singapura.

Selepas lulus undang-undang Razak telah bekerja dengan kerajaan Johor sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian (PTG). Semasa menjadi Timbalan Pengarah PTG itulah Razak mengetahui berbagai bentuk penyelewengan tentang tanah. Tidak lama Razaak di PTG. Beliau ditukar ke FELDA sebagai Setiausaha Kerja. Selama 5 tahun (1969 – 1973) Razak bertugas sebagai Setiausaha Kerja dan penasihat undang-undangnya. Ketika itu Dato’ Musa Hitam menjadi Pengerusi FELDA. Akhbar Watan (11-14 Februari 1986) dalam satu rencana mengenai Razak memetik kata-kata pemimpin PRM itu. Menurut Razak, “Dato’ Musa Hitam pernah menawarkan jawatan Setiausaha Politik beliau kepada saya. Tetapi saya menolaknya atas alasan saya hendak balik ke Johor.

Tetapi Razak memang benar balik ke Johor. Dia memulakan khidmatnya sebagai seorang peguambela dan peguamcara pada tahun 1974. Pada tahun yang sama Razak telah dipilih sebagai Pengerusi PRM Johor. Pada pilihanraya umum 1974 Razak bertanding di kawasan Parlimen Pulai. Beliau tewas. Itu adalah pilihaanraya pertama yang Razak bertanding.

Bagaimanapun, selepas kemenangan besar Barisan Nasional(BN) dalam pilihanraya umum itu, perkara pertama yang BN lakukan di Johor ialah merobohkan rumah setinggan-setinggan miskin di Tasik Utara, satu kawasan di pinggir bandar Johor Bahru. Tindakan itu telah mencetuskan bantahan yang kuat dari setinggan-setinggan miskin itu yang mendapat sokongan dari PRM Johor pimpinan Razak dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Universiti Singapura, lain-lain persatuan mahasiswa, pelajar, badan-badan belia dan NGO.

Razak telah tampil bukan sahaja sebagai seorang pemimpin politik tetapi juga sebagai peguam yang membela 48 orang setinggan Tasik Utara dan para pemimpin pelajar serta aktivis-aktivis PRM yang ditangkap dan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru. Pada akhirnya, Razak sendiri turut ditangkap tetapi tidak dibicarakan kerana Razak ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tangkapan di bawah ISA itu tidak menjejaskan semangat Razak. Razak kemudian muncul lagi. Kali ini beliau memperjuangkan nasih nelayan miskin yang bernama Ismail di Sekakap, Mersing Johor. Ismail bertahun-tahun menunggu hasil permohonan tanah yang dibuatnya di Mersing, tetapi tiba-tiba Ismail mendapati tanah yang dipohonnya itu telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri Johor kepada kroni-kroni pemimpin kerajaan negeri yang antaranya ialah Menteri kerajaan Pusat. Tiada tempat lain untuk mengadu, maka Ismail ke Johor Bahru minta bantuan Razak. Bergegar kerajaan Johor waktu itu apabila Menteri Besarnya disapena Razak supaya memberi keterangan dimahkamah. Nelayan miskin itu menang dalam kes tersebut.

Apabila siap laporan siasatan kes penyelewengan BMF oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ahmad Nordin pada tahun awal 1986 dan kerajaan BN pada waktu itu enggan mendedahkannya kepada umum, Razak secara peribadi telah pergi ke mahmakah untuk meminta satu perintah supaya laporan itu didedahkan kepada umum. Sebelum kesnya di dengar di Mahkamah Tinggi Johor Bahru Kerajaan Malaysia mengumumkan ia akan menyiarkan laporan itu sepenuhnya pada bulan Mac 1986 melalui Parlimen.

Apabila pada pertengahan tahun 1980-an kerajaan Johor melancarkan projek penswastaan yang dikenali sebagai Kota Terapung Selat Tebrau, PRM dibawah pimpinan Razak telah menentangnya dengan gigih dengan berhujah projek itu satu pembaziran dan merosakkan alam sekitar. Razak mencabar hingga ke Mahkamah Tinggi. Razak tewas kerana hakim berkata Razak tidak ada locus standi. Razak dianggap “busy body”. Tapi Razak berhujah dia adalah pembayar cukai. Dia penduduk Johor Bahru. Razak tewas dan terpaksa membayar kos mahkamah dalam kes itu. Razak lakukan itu semua kerana kepentingan awam. Tetapi lihatlah sekarang apa yang Razak cakap adalah benar. Projek Kota Terapun telah gagal. Yang Berjaya ditegakkan ialah besi-besi konkrit berceracak terbengkalai di Selat Tebrau terutama di kawasan berhadapan Istana Besar Johor Bahru.

Razak selalu berkata bahawa dia tidak menentang pembangunan. Tetapi pembangunan yang dilakukan janganlah sehingga merampas atau menindas rakyat. Pada awal tahun 1990-an, projek jambatan Lalauan Kedua menghubungi Gelang Patah dengan Singapura dirancang untuk dibina. Razak bangun bersuara. Dia tidak membantah membabi buta-membantah atas nama membantah. Razak mengadakan siri seminar di Gelang Patah. Dia turun menemui rakyat bersama-sama sahabatnya Prof. Dr Syed Husin Ali, Prof Dr. K.S. Jomo, dan Sdr Mohd Salleh Hj Ahmad menjelaskan apakah kesan projek besar itu kepada rakyat jelata.

Razak berhujaah atas nama projek jambatan dan buat lebuhraya tetapi dalam masa yang sama tanah rakyat akan dirampas seluas-luasnya oleh kerajaan negeri untuk diserahkan kepada UEM/Renong. Dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah kerajaan Johor bayar pampasan yang murah kepada rakyat. Kini UEM syarikat yang berkait rapat dengan Umno mempunyai tanah beribu hektar di Gelang Patah dalam kawasaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) menjadikan UEM kaya raya manakala tuan tanah asal ramai kembali menjadi nelayan miskin.

Sebagai seorang ahli politik yang menyertai pilihanraya, Razak bertanding hampir setiap pilihanraya umum sejak 1974 kecuali pada tahun 1978. Peluang yang paling hampir untuk Razak memasuki Dewan Undangan Negeri Johor ialah pada tahun 1988. Dalam Pilihanraya Kecil Tanjong Puteri Razak tewas hanya 31 undi sahaja. Pilihanraya kecil itu diadakan apabila Razak menang dalam petisyennya di Mahkamah bahawa berlaku penyelewengan dalam pilihanraya kawasan DUN Tanjong Puteri pada tahun 1986.

Selepas kalah pilihaanraya biasanya seseorang calon yang tewas itu mengambil masa beberapa hari untuk pulih semangatnya. Ada sesetengahnya langsung tak pulih-pulih semangat. Tetapi Razak hari ini dia tewas, besok dia tetap bangun dan berjalan dengan kepala tegak membimbit beg peguamnya ke mahkamah dan meneruskan kehidupannya seperti biasa. Ketabahan Razak itu menjadi inspirasi kepada penyokong-penyokongnya.

Razak jarang kelihatan mengeluh atau marah-marah. Dalam segi mengawal sabar Razak adalah seorang pahlawan. Dia adalah kawan kepada semua orang. Dia masuk ke kubu Umno di Johor Bahru seorang diri tanpa teman. Dia tidak pernah bimbang. Musuh politik Razak mungkin tidak mengundi Razak tetapi mereka menghormati peribadi Razak. Razak banyak kali bertembung dengan Dato’ Shahrir Samad dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen Johor Bahru. Shahrir dan Razak dua tokoh yang amat memikat dalam politik Johor. Kedua-duanya ahli politik yang berpegang kepada prinsip.

Tetapi Razak kadang-kadang agak bravado tindakan politiknya semasa dia muda. Yang paling diingati orang ramai ialah peristiwa dia berbaring di atas landasan keretapi Johor Bahru bagi menghalang Keretapi Tanah Melayu (KTM) bergerak ke Singapura. Ini berlaku pada tahun 1986 kerana membantah lawatan Presiden Israel Chiam Herzoq ke Republik Singapura. Tak cukup berbaring di atas landasan keretapi, pada keesokannya Razak berbaring di atas Tambak Johor. Untuk beberapa hari kecoh Johor dan Singapura dibuat Razak. Rakyat Singapura takut ke Johor untuk beberapa hari. Razak buat gimik itu semua kerana satu perkara. Sentimennya menyokong perjuangan Rakyat Palestin amat kuat. Duta Palestin ke Malaysia waktu itu Ahmad Al Farra turun ke Johor Bahru apabila PRM dibawah pimpinan Razak mengadakan siri tunjuk perasaan anti-zionis Israel bersempena lawatan Herzoq.

Tetapi isu berbaring di landasan keretapi dan tunjuk-tunjuk perasaan anti Israel memakan diri Razak dalam pilihanraya kecil DUN Tanjong Puteri pada 1988 yang menyaksikan Razak tewas hanya 31 undi. Di satu pihak Razak telah dapat memenangi hati pengundi-pengundi Melayu akibat perpecahan Team A dan Team B dalam Umno tetapi Razak kehilagan agak banyak sokongan tradisinya dari orang-orang Cina.

Razak menjadi ahli PRM sebaik sahaja keluar dari universiti. Waktu itu dia pegawai kerajaan Johor. Dalam PRM di peringkat pusat Razak telah memegang pelbagai jawatan. Antaranya beliau menjadi Timbalan Presiden (1990 – 2004) dan pernah menjadi Pemangku Presiden dari tahun 1988 hingga 1990.

Razak memang patut dikenang sebagai seseorang yang memperjuangkan golongan yang lemah dan tertindas. Rekodnya memang banyak. Apabila penduduk-penduduk rumah panjang di SEDC, Tampoi Johor Bahru hendak diusir oleh kerajaan negeri dan penduduk-penduduk Kg. Plentong Tengah pula mahu diusir oleh pemaju, Razak telah membela hak dan kepentingan penduduk-penduduk itu hingga ke Mahkamah Rayuan di Kuala Lumpur dan di Putrajaya. Walaupun dalam kedua-dua kes itu Razak tewas tetapi dia telah melawan untuk mempertahankan hak dan keadilan rakyat bawahan tanpa mengira kaum dan agama. Pada hari Razak meninggalkan alam fana ini dan disemadikan selepas solat Asar di bawah redup rumpun daun pohon-pohon tembusu maka berkampunglah seketika sana saudara dan sahabat handai Razak pelbagai kaum dan agama memberi penghormatan terakhir kepada pejuang rakyat yang gigih dan berani. Semoga Allah mencucuri rohnya. Amin.

Al Fatihah.

Bertarikh 12hb Ogos, 2007

No comments:

Post a Comment