Monday, September 17, 2007

Minister says NO formal complaints about RELA received

Kenyataan Akhbar YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Pada 12 September 2007 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur

Jawapan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Mengenai Penyalahgunaan Kuasa Anggota RELA Adalah Tidak Bertanggungjawab


Saya ingin merujuk kepada soalan Parlimen lisan yang saya tanya pada 10 September 2007. Soalan dan jawapan adalah seperti berikut:

Tarikh : 10.09.2007
Soalan : 20

Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh] minta MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI menyatakan bilangan aduan yang diterima berkenaan dengan anggota RELA yang melakukan kesalahan semasa menjalankan operasi pengusiran Pendatang Tanpa Izin. Berapakah di antara mereka telah pun didakwa di mahkamah dan berapakah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.


JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli yang Berhormat, setakat ini tidak ada aduan rasmi yang diterima berkenaan dengan anggota RELA yang melakukan kesalahan semasa menjalankan operasi. Walaubagaimanapun aduan-aduan yang diterima hanyalah dibuat secara umum melalui akhbar-akhbar yang mendakwa bahawa anggota-anggota RELA bertindak secara kasar, mengambil harta milik Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan sebagainya semasa operasi.

Setakat ini tiada seorang pun anggota RELA yang didakwa di mahkamah atas kes-kes kesalahan semasa menjalankan operasi.

------------------------------------------------------------

Saya merasa amat hairan terhadap jawapan yang diberi oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ke atas soalan lisan saya, di mana pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan tentang penyalahgunaan kuasa anggota RELA semasa menjalankan operasi, dan kementerian malah berkata bahawa tiada seorang pun anggota RELA yang di dakwa di mahkamah atas kes-kes kesalahan semasa menjalankan operasi.

Jawapan ini adalah amat tidak bertanggungjawab kerana ia menunjukkan pihak kementerian cuba menutup sebelah mata ke atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh anggota-anggota RELA. Segelintir daripada mereka malah berlagak seperti penyamun, perompak dan perogol pada waktu menjalankan tugas. Di sini saya ingin menyenaraikan kes-kes jenayah yang dilakukan oleh anggota RELA yang disiarkan dalam akhbar semasa menjalankan operasi:

  1. Pada 30 Disember 2006, anggota RELA M Suresh (umur 20 tahun) , dan Norirwanshah Mat Nor (umur 21 tahun) merogol seorang gadis berusia 14 tahun di tandas awam di Taman Tasik, seksen 14, Shah Alam. Kedua-dua anggota RELA ini didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam pada 28 Feb, 2007. ( Utusan MalaysiaFeb 28, 2007)
  1. Pada 17 April 2007, 10 anggota RELA yang berpakaian seragam telah pecah masuk ke rumah asrama pekerja asing di Taman Botani dan Taman Soon Choon. Mereka telah merompak barangan bernilai RM 1,800 dengan senjata api. Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Jalaluddin Ibrahim kemudian mendakwa anggota RELA ke Mahkamah di bawah Kanun Keseksaan 395 atas kesalahan samun berkumpulan.

Polis juga mendapati dua daripada 10 anggota RELA berkenaan mempunyai kes jenayah dan pernah didakwa di bawah Kanun Keseksaan 379 (kecurian) sebelum ini. ( Utusan Malaysia April 17, 2007)

  1. Pada 4 April 2007, jam 10:30 pagi, 80 anggota RELA telah menyerbu pasar pagi Pudu. Mereka telah menangkap 200 pekerja asing, termasuk mereka yang mempunyai permit kerja 18 pemegang dokumen UNHCR. ( China Press April 4 , 2007)
  1. Pada 10 April 2007, 8 orang anggota RELA mengambil makanan dan minuman tanpa membayar di Restoran Golden Seafood di Tampoi, Gemas, Negeri Sembilan. Salah seorang daripada mereka malah mencabuli penghormatan seorang pelayan perempuan. Anggota RELA tersebut telah menahan 3 orang pekerja asing yang mempunyai permit kerja. Majikan restoran tersebut kemudian menghubungi balai polis dan imigresen Seremban tetapi tidak dapat mengesan pekerja asing mereka tersebut. ( Oriental Daily 10 April, 2007)

  1. Pada April 2007, seorang anggota RELA melarikan seorang pembantu rumah wanita Indonesia. Beliau kemudian merogolnya sehingga dia berhamil. Tangan dan kaki wanita itu diikat selama satu bulan di sebuah rumah kosong. Mangsa rogol ini masih di bawah perlindungan di Kedutaan Indonesia.(Malasyiakini Spetember 7, 2007)

  1. Pada 16 Feb 2007, 20 anggota RELA membuat serbuan di Medan Selera Cahaya dan menahan pekerja perempuan Indonesia. Majikan mereka terpaksa membayar wang rasuah RM2,000 untuk membebaskan pekerja mereka. Kes ini juga ditegur oleh YB Dato' Tan Chai Hoe, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. ( Thestar May 29, 2007)

Kes-kes tersebut merupakan sebahagian kecil daripada jenayah dan salahlaku anggota RELA yang telah disiarkan dalam media. Pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri tidak harus menutup mata dan mengendahkan kesemua penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh anggota RELA yang telah disiarkan dalam media tanpa mengambil apa-apa tindakan.

Walaupun pihak yang terlibat tidak membuat aduan kepada pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pihak Kementerian tidak harus menganggap bahawa RELA tidak melakukan apa-apa penyalahgunaan kuasa semasa dan tidak mengambil tindakan terhadap anggota RELA yang melakukan jenayah semasa menjalankan operasi mereka.

Jawapan YB Menteri tesebut sebenarnya adalah memesongkan Dewan Rakyat dan ini merupakan kesalahan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Akhirnya, saya juga ingin menyuarakan kebimbangan ke atas Rang Undang-Undang RELA yang dikatakan akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini. Apakah rang undang-undang ini akan memberi lebih ruang kepada anggota RELA untuk melakukan jenayah semasa menjalankan tugas?

Saya ingin menyeru Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk mengadakan rundingan dengan Ahli-Ahli Parlimen, NGO dan orang ramai sebelum membentangkan rang undang-undang tersebut, demi mengelakkan penyalahgunaan kuasa anggota RELA.


Teresa Kok

No comments:

Post a Comment