Saturday, May 02, 2015

May Day 2015 Celebrations - MTUC Secretary General's Address

MTUC - Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Ucapan Hari Pekerja 2015

29 April 2015 Print page MTUC
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
N. Gopal Kishnam
Setiausaha Agung

Kita merayakan Hari Mei tahun ini dengan harapan bahawa kita akan terus berjuang dan membina kesatuan sekerja yang lebih kukuh untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Malaysia. Kita perlu memperkukuhkan gerakan pekerja di Malaysia untuk memperjuangkan hak asasi pekerja di negara ini, sepertimana kita berusaha membangunkan ekonomi negara ini dalam arus global ini. Cabaran dan senggitan akan terus kekal, tiada cabaran maka tiada kesatuan. Oleh itu kita tidak harus putus asa malah teruskan perjuangan kita.

GAJI MINIMUM RM1200 DAN PENINGKATAN KETIDAKSAMAAN PENDAPATAN

Gaji minimum telah menjadi topik hangat di Malaysia. Gaji minimum bukanlah dana kebajikan yang diberikan kepada pekerja-pekerja Malaysia. Hak untuk mendapat gaji yang berpatutan untuk meneruskan hidup adalah hak asasi manusia. Walaupun gaji minimum dilaksanakan, masih terdapat sektor di mana pekerja tidak melihat manfaat dari gaji minimum. Pekerja-pekerja hotel telah diperdaya bagi tempoh yang lama.

Ketidaksamaan pendapatan semakin meningkat ke tahap yang tidak mapan di negara ini. Ini menyebabkan isu-isu sosial dan kes di mana yang kaya semakin kaya dan yang miskin menjadi lebih miskin. Keseimbangan perlu diwujudkan bagi mengimbangkan kedudukan ini supaya majoriti rakyat berpendapatan di Malaysia dapat berjalan sama-sama dalam arus pembangunan dan memiliki hak yang sama rata dan menjadi sebahagian dalam arus pembangunan ekonomi negara. Oleh yang demikian MTUC tuntut supaya gaji minimum diselaraskan kepada RM1200.

CABARAN BAGI PEKERJA DI MALAYSIA, GST DAN COLA

Kerajaan tidak mengendahkan dan mengambil kira sentimen rakyat terutama golongan pekerja yang berpendapatan rendah malah telah memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% pada 1hb April 2015. Ini merupakan satu lagi contoh hakisan terhadap tahap pendapatan sebenar pekerja di Malaysia.

Apakah justifikasinya kerajaan memberi BRIM selepas itu membebankan rakyat dengan cukai GST malah harga barangan dan perkhidmatan naik berkali ganda. Kajian yang dilakukan oleh FOMCA menunjukkan bahawa harga barangan telah naik sebanyak 20% sejak GST diperkenalkan. Bagaimanakah penduduk yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan dapat meneruskan hidup?

Pekerja di Malaysia berhadapan dengan tekanan bagi memenuhi keperluan harian mereka dan ahli keluarga mereka. Ini adalah tidak wajar, kerana pekerja-pekerja di negara ini telah memberi sumbangan besar ke arah pembangunan ekonomi negara.

MTUC telah meminta kerajaan untuk mewajibkan pemberian Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300.00 dibayar kepada semua pekerja oleh majikan mereka. Ini adalah hak yang harus dilaksanakan dengan segera oleh setiap majikan. Majikan dan pelabur sentiasa dengan bangganya mengisytiharkan keuntungan setiap tahun maka mereka juga harus sanggup berkongsi keuntungan tersebut dengan pekerja mereka.

COLA bukanlah merupakan suatu bantuan yang diminta oleh pekerja dari majikan dan kerajaan malah ia merupakan satu hak keadilan terhadap pekerja daripada pembangunan negara ini.

SISTEM PERHUBUNGAN PERUSAHAAN

Malaysia pernah bangga dengan memiliki sistem perhubungan perusahaan yang baik, di mana negara-negara lain sangup berkongsi dan mengamalkannya. Sungguh menyedihkan kini sistem tersebut telah dimusnahkan.

Sistem perhubungan perusahaan harmoni yang tidak harmoni, dilewat-lewatkan ini telah menyebabkan pekerja-pekerja yang telah dipecat menanti tiga hingga lima tahun sebelum kesnya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.

Majikan yang tidak prihatin boleh memecat seseorang pekerja dan menjahanamkan hidup keluarga pekerja hanya dengan sebatang pen dalam sekelip mata sahaja. Malahan bagi mendapatkan keadilan pekerja terpaksa menunggu begitu lama, yang melibatkan kos yang tinggi dan bukan mudah bagi seseorang pekerja untuk menampung kos ini.

Mengenai Perjanjian Bersama, Mahkamah Perusahaan telah menghadkan award kepada dua pertiga(2/3) daripada peningkatan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI). Ini tidak adil dan tidak wajar. Tidak ada sebab mengapa CPI digunakan sebagai elemen utama oleh Mahkamah dalam memberi kenaikan gaji kepada pekerja-pekerja walaupun syarikat memperoleh keuntungan yang besar dan membayar berjuta-juta ringgit bonus kepada eksekutif kanan mereka.

UNION BUSTING – telah menyebabkan pengiktirafan kesatuan sekerja dikawal dan berjalan dengan tidak adil. Sebagai contoh dalam sektor elektronik, majikan enggan memberi pengiktirafan kepada kesatuan dan menafikan hak kesatuan daripada melakukan rundingan terhadap perjanjian bersama yang telah menjurus kepada penafian hak terhadap ahli-ahli kesatuan. Itulah yang telah berlaku kepada kesatuan RUM, BAT dan lain-lain kesatuan.

Majikan sengaja memberi tekanan terhadap pemimpin kesatuan dan pekerja-pekerja dengan membuang kerja mereka manakala dalam kes BAT pula polis telah menahan seramai 11 orang pekerja yang melakukan piket.

Hak untuk berpiket dan mogok terkandung dalam akta dan seharusnya kesatuan boleh mempraktikannya untuk mendapatkan keadilan dan memperjuangkan hak mereka. Namun apakah kesudahannya? Polis dan pihak berkuasa sentiasa campurtangan dalam urusan piket yang dianjurkan oleh mana-mana kesatuan dan memangsakan pihak pekerja dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang mempraktikan hak mereka.

Aktiviti anti-Kesatuan telah menjadi satu perkara biasa dan lumrah. Ia kini dilakukan secara terbuka dan dengan bangganya oleh majikan. Pihak berkuasa dari Kementerian Sumber Manusia tidak aktif dan berkuasa untuk menghentikan perkara ini dari berlaku dan majikan telah menggunakan kesempatan ini untuk meneruskan aktiviti-aktiviti anti-kesatuan.

PINDAAN AKTA-MEMIHAK KEPADA MAJIKAN: Walaupun memiliki pelbagai perundangan buruh di negara ini, antara yang utama iaitu Akta Kerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja, telah dipinda dari masa ke semasa untuk menghakiskan hak-hak pekerja dan pengaruh kesatuan sekerja. Walaupun mendapat bantahan kuat dari MTUC, pindaan yang memberi ruang lebih ke arah penggunaan pekerja kontrak yang akan memberi tekanan terhadap gaji dan memusnahkan sama sekali hak-hak asasi lain pekerja secara keseluruhannya di negara ini masih diluluskan di Parlimen. Ini hanya salah satu daripada banyak pindaan sejak beberapa tahun yang boleh digambarkan sebagai anti-pekerja.

MTUC mohon kerjasama pihak kerajaan untuk membuat semakkan semula terutamanya peraturan undi sulit dan sebagainya dan mengemaskini akta-akta ini supaya dapat memenuhi inspirasi kaum pekerja dan sejajar dengan seruan Perdana Menteri RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.

PEKERJA ASING
Perlambakkan pekerja asing di negara ini perlu diberi perhatian yang serius. Pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini atas alasan bahawa penduduk tempatan tidak mahu untuk melakukan pekerjaan tersebut. Namun demikian pada realitinya pekerja asing dibawa ke negara ini hanya untuk memberi tekanan terhadap gaji pekerja tempatan. Layanan yang diberikan terhadap pekerja asing amat mengerikan dan tidak adil sama sekali.

Kebergantungan kepada pekerja asing telah menjejaskan keharmonian perhubungan perusahaan di negara kita.
  Pekerja asing datang untuk bekerja di Malaysia kerana majikan di Malaysia yang memerlukan pekerja ini dan kerajaan Malaysia mahu mereka terus datang. Pekerja asing, biasanya datang dari negara-negara miskin dan mereka datang ke sini untuk mendapatkan wang untuk menanggung diri dan keluarga mereka.

Ramai pekerja asing apabila mereka datang ke Malaysia untuk bekerja telah berhutang di negara asal mereka sekurang-kurangnya RM6,000-RM15,000. Ramai pekerja asing telah ditipu oleh ejen-ejen dengan janji-janji akan dibayar gaji dan faedah pekerjaan yang tinggi. Malah ramai pekerja asing tidak menikmati hak gaji minimum sehingga akhir bulan Disember 2014. Ramai juga yang kini sedang dibebani dengan levi, insurans dan lain-lain bayaran.

Pengenaan undang-undang dan syarat-syarat yang berbeza bagi pekerja-pekerja tempatan dan asing boleh memberi kesan buruk kepada pertumbuhan dan keharmonian kesatuan sekerja di Malaysia malah boleh memudahkan aktiviti union busting dilakukan dengan mudah. MTUC berpendapat bahawa semua pekerja perlu dilayan sama rata tanpa mengira agama, bangsa, jantina atau kewarganegaraan.

Pekerja asing adalah pekerja juga dan memberi sumbangan terhadap pembangunan di Malaysia perlu dilayan sama rata apatah lagi memberi perkdimatan kesihatan yang wajar kepada mereka apabila dipetlukan.

PERJANJIAN PERDAGANGAN PERLU MEMBERI MANFAAT KEPADA SEMUA

Perjanjian perdagangan global tidak memberi manfaat kepada rakyat seperti yang telah dijanjikan. Sebaliknya ia telah menyebabkan jurang antara pemilik perniagaan kaya semakin meningkat. 99% tidak mendapat faedah daripada perjanjian perdagangan global tersebut.

Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Barrack Obama telah mendesak untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Malahan syarat-syarat dalam TPPA tidak dinyatakan dengan jelas kepada rakyat dan Obama nampaknya tidak mempunyai sokongan daripada Kongres AS mengenai perkara ini.
  Kerajaan Malaysia telah mengenepikan MTUC dalam perkara ini, kerana perjanjian-perjanjian ini memberi kesan serius dan berpotensi buruk kepada pekerja. Kerajaan juga harus telus tentang kandungan TPPA kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia biasa dalam kehidupan seharian.

RATIFIKASI KONVENSYEN 87

Konvensyen 87, amat penting untuk perkembangan kesatuan sekerja dalam negara ini. Walaupun Malaysia telah menjadi negara anggota ILO namun masih belum mengiktiraf konvensyen teras yang penting bagi penubuhan kesatuan sekerja. Selagi konvensyen ini tidak diiktiraf selagi itulah kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah dalam mempercepatkan penubuhan kesatuan, pengiktirafan dan menuntut hak pekerja dari majikan-majikan. Kerajaan haruslah dengan segera mengiktiraf konvensyen ini bagi membolehkan keharmonian wujud di antara kesatuan, pekerja dan majikan.

BERSATU MTUC

Saya gembira dan bangga dengan kepimpinan baru MTUC yang kuat, teguh dan kukuh dalam memberi sokongan padu dan kuat terhadap sebarang isu kesatuan yang dibawa ketengah. Sokongan yang berterusan dari Majlis Am, kesatuan gabungan dan semua ahli kesatuan sekerja telah menjadi inspirasi kuat kepada barisan kepimpinan MTUC untuk meneruskan perjuangan MTUC di negara ini. Kita perlu bersatu untuk menegakkan hak asasi kaum pekerja di negara ini. Terdapat banyak yang perlu dilakukan dan kami berjanji akan terus perjuangkan hak-hak kaum pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini.

Saya menyeru kepada semua pemimpin teruskan sokongan anda bagi kemajuan dan keutuhan MTUC bagi kebaikan bersama.

Hidup Pekerja! Hidup MTUC!
MTUC Penang - Penang

MTUC Penang - Penang

Ipoh - Non-Metalic Union

Ipoh - Non-Metalic Union

National Union of Journalist

No comments:

Post a Comment