Wednesday, May 10, 2017

Sambutan Hari Pekerja 1 Mei, asalnya mengenai hak pekerja bukan soal produktiviti negara?

Sambutan Hari Pekerja 1 Mei, asalnya mengenai hak pekerja bukan soal produktiviti negara

Dulu sambutan Hari Mei atau May Day pada 1 Mei dipanggil Hari Buruh, bukannya Hari Pekerja. Ia merupakan terjemahan perkataan Labour Day. “Buruh” merujuk pekerja yang menggunakan tenaga tulang empat kerat.
Contohnya orang yang kerjanya mengangkat barang, membuat jalan, melombong, menoreh dan sebagainya. Bagaimanapun dalam bahasa Inggeris, “labour” bermaksud bekerja atau menghasilkan sesuatu.
Hari Buruh mula disambut di Malaya pada 1921, selepas Perang Dunia Pertama, sebelum Perang Dunia Kedua. Ketika itu Malaya adalah tanah jajahan Inggeris yang kaya dengan menyumbang pendapatan Britain melalui hasil pelombongan bijih timah dan peladangan getah. Ia dikerjakan melalui tenaga buruh melibatkan pekerja dari China dan India.
Kini Hari Buruh dikenali sebagai Hari Pekerja. Pekerja di sini bermaksud mereka yang makan gaji, termasuklah yang bekerja di pejabat, dan menggunakan tenaga mental.
Asalnya, Hari Pekerja bertujuan memperingati perjuangan para pekerja menuntut hak, iaitu 8 jam bekerja sehari dan cuti rehat seminggu sekali, di samping gaji setimpal.
Hari Pekerja disambut dengan para pekerja mendapat cuti rehat sebagai penghargaan serta perarakan bagi menyatakan tuntutan hak mereka. Pada mulanya, sambutan ini dianjurkan oleh kesatuan sekerja dan parti politik yang menyokong mereka, tetapi akhirnya ia menjadi arus perdana dengan kerajaan turut menganjurkannya.
Di Malaysia merdeka, pihak berkuasa yang mengambil perhatian terhadap pekerja ialah Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat. Kini ia dikenali sebagai Kementerian Sumber Manusia. Perubahan nama kementerian juga menunjukkan perubahan perhatian terhadap pekerja.
Dahulu apabila ada perkataan buruh, maka ia merujuk kepada pekerja yang menggunakan tenaga manusia. Sememangnya pada masa itu ekonomi negara bergantung pada tenaga fizikal manusia.
Namun begitu, ia juga mengambil perhatian terhadap pekerjaan lain, itulah yang disebut sebagai tenaga rakyat.
Kini istilah sumber manusia merujuk pada keseluruhan pekerjaan dan kementerian ini mengumpul data serta merancang mengenainya bagi tujuan pembangunan negara.
Maka apabila sambutan Hari Pekerja dibuat oleh kerajaan, ia bukan saja ditujukan pada buruh atau pekerja makan gaji tetapi keseluruhan pekerjaan yang dilakukan oleh rakyat. Maka orientasi sambutan Hari Pekerja sudah berubah daripada berbentuk tuntutan hak kepada soal produktiviti, mutu kerja dan sumbangan pada negara.
Sementara di pihak berkuasa agama, sambutan Hari Pekerja dilihat dari sudut nilai bekerja itu sendiri. Dalam khutbah Jumaat menjelang Hari Pekerja umpamanya, ia menekankan soal bahawa agama menggalakkan seseorang itu bekerja dan tidak meminta-minta atau mengemis.
Para pekerja pula diingatkan tentang kepentingan pendapatan halal. Pekerja Islam dilarang bekerja dalam perniagaan haram. Umpamanya membuat dan menjual arak. Selain itu para pekerja diseru supaya bersifat jujur dan amanah. Rajin dan tidak curi tulang. Di atas segalanya pekerja diingatkan supaya tidak mengambil rasuah.
Tujuan asal
Walaupun seruan itu baik tetapi tujuan asal Hari Pekerja adalah mengingat tentang perjuangan hak mereka. Maka pada hari itu, apa yang perlu diingatkan adalah pada majikan.
Dalam agama juga, majikan diminta jujur dalam membayar ganjaran. Bayaran upah tidak boleh ditangguh. Pekerja tidak boleh ditindas dan mereka mesti dilayan dengan adil.
Maka jika dilihat mengenai perkembangan Hari Buruh hingga menjadi Hari Pekerja, ia berkembang atau melencong daripada membela buruh kepada memberi perhatian kepada semua pekerja, daripada mulanya dalam bentuk makan gaji kepada apa saja bentuk usaha untuk memperoleh pendapatan.
Daripada membawa isu keadilan bagi pekerja, kepada soal amanah di kalangan kakitangan dan seterusnya mengenai produktiviti tenaga rakyat untuk pembangunan negara. Daripada berorientasikan pada pekerja, beralih pula kepada kepentingan negara.
Perjuangan hak pekerja adalah sebahagian daripada dunia moden yang berasaskan pada revolusi industri. Apabila dunia memasuki zaman perindustrian, maka ia bergerak atas modal dalam suatu sistem kewangan yang tersusun.
Apa yang dikatakan sebagai modal, ia datang dalam pelbagai bentuk sumber, sama ada bahan mentah atau tenaga manusia. Dalam hal manusialah datangnya perburuhan dan pekerjaan.
Tetapi manusia tidak seperti modal bahan mentah. Manusia mempunyai keperluan fizikal dan kerohanian. Mereka memmpunyai jati diri, hasrat diri dan berperasaan sama dengan majikan mereka.
Perkembangan ekonomi dan hak pekerja
Sistem perindustrian berkembang beriringan dengan imperialisme. Maka apabila Revolusi Industri berlaku di Britain bermula pada kurun ke-18, ia juga beriringan dengan penjajahannya melalui Empayar British di mana lingkungan penguasaannya termasuk Malaya. Industri timah dan getah adalah sebahagian daripada perindustrian Britain.
Apabila penindasan berlaku dengan teruk di Britain, maka lahirlah gerakan pekerja. Kesatuan sekerja juga dikenali sebagai kesatuan buruh mula ditubuhkan pada abad ke-18 juga. Tetapi Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) di Britain ditubuhkan pada 1868. Parti Buruh juga diwujudkan pada tahun 1900 untuk menyalur aspirasi para buruh.
Suasana tuntutan untuk hak pekerja ini merebak di semua negara perindustrian termasuk Amerika Syarikat.
Di Chicago, meletus Peristiwa Haymarket yang menyaksikan pertempuran antara pekerja dan polis pada tahun 1886. Hari itu diperingati sebagai Hari Mei, Hari Buruh dan Hari Pekerja. Ia mula disambut pada tahun 1904 dengan nama rasminya sebagai Hari Pekerja Antarabangsa. Bagaimanapun di Amerika ia disambut pada Isnin pertama September sejak 1887.
Kesatuan sekerja pertama Malaya ditubuhkan pada 1920-an. Parti Buruh Singapura ditubuhkan pada 1948 kemudian menjadi Labour Front dan menang pilihan raya pada 1955 dengan ketuanya David Marshal sebagai ketua menteri Singapura. Beliau kemudian menubuhkan Parti Pekerja Singapura pada tahun 1957.
Di Malaya, Pan-Malayan Labour Party ditubuhkan pada tahun 1952 dan mengubah namanya kepada Parti Buruh Malaya pada tahun 1955. Ia kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaya (PRM) dan menjadi Front Sosialis Rakyat Malaya (SF).
Setelah Parti Buruh bubar, banyak ahlinya menyertai parti lain seperi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pada 1978, Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP) ditubuhkan. Parti ini tidak dapat sambutan. Pada 2015, bekas ahli PAS mengambil alih parti ini untuk dijadikan Parti Amanah Negara.
Dunia sudah berubah daripada bentuk perindustrian kepada teknologi maklumat, apa yang disebut sebagai pekerja juga berubah. Para pekerja sudah berubah daripada sumber manusia kepada modal insan.
Pekerja adalah secara terang-terang merupakan sebahagian daripada modal perindustrian. Para pekerja menerima sistem modal global sekarang kerana mereka turut menerima manfaat dan dapat mengikut serta proses sistem ini.
Penindasan dan ketidakadilan masih berlaku tetapi terdapat mekanisme bagi mengatasinya dalam sistem demokrasi liberal.
Dalam sejarah, golongan komunis mengambil kuasa dan memerintah beberapa negara atas nama para pekerja. Eksperimen mereka gagal dengan negara komunis tumbang dan mereka beralih kepada sistem pasaran bermodal.
Tinggal beberapa negara komunis seperti China dan Vietnam yang mengubah sistem ekonomi mereka dan berjaya memberikan kehidupan baik kapada para pekerja. Sementara Parti Pekerja Korea menjadikan Korea Utara sebuah negara yang gagal untuk memberi kesenangan kepada para pekerja mereka.
Parti Buruh di Britain, Parti Buruh Australia dan parti pekerja yang bergerak di negara maju dapat membela para pekerja mereka melalui sistem demokrasi liberal. Dasar mereka yang bersifat demokratik sosial atau sosialisme demokratik menjadi sebahagian daripada sistem politik mereka.
Dalam merayakan Hari Pekerja semalam, wajar diingatkan kembali sasaran awal sambutan ini. Semua pekerja boleh mengambil manfaat sambutan Hari Pekerja ini tetapi tujuan asalnya adalah untuk membela para pekerja buruh, yang sentiasa ada isu mengenainya seperti gaji minimum, pekerja asing dan kebajikan persaraan.
>> Komentar bebas bekas Pengarang Kanan Utusan, Zin Mahmud I 2 Mei 2017
Sumber: http://amanahdaily.com/index.php/2017/05/02/sambutan-hari-pekerja-1-mei-asalnya-mengenai-hak-pekerja-bukan-soal-produktiviti-negara/

No comments:

Post a Comment