Monday, September 24, 2018

RESOLUSI PERSIDANGAN NASIONAL TANAH ORANG ASLI KE-10 JKOASM HAK TANAH DAN PERLINDUNGAN HUTAN PENTING BAGI ORANG ASLI!

Attachment Report Bee-ch.doc added.
Conversation opened. 1 read message.

Kenyataan Media

RESOLUSI PERSIDANGAN NASIONAL TANAH ORANG ASLI KE-10 JKOASM
HAK TANAH DAN PERLINDUNGAN HUTAN PENTING BAGI ORANG ASLI!

20 - 23 September 2018
Kuala Lumpur, Malaysia


Dalam Persidangan Nasional Tanah Orang Asli ke-10 telah dihadiri oleh perwakilan Orang Asli seramai 117 orang dari 7 negeri di bawah Jaringan Kampung Orang Asli di Semenanjung Malaysia (JKOASM), dengan sokongan oleh Pusat Komas dan perwakilan dari Sabah dan Sarawak. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan seperti SUHAKAM, Majlis Peguam  dan NGO-NGO yang lain. Pada Persidangan yang mengambil masa selama 4 hari ini turut dihadiri oleh yang berhormat YB Timbalan Menteri KKLW/PLB tuan Sivarasa Rasaiah sebagai perasmi persidangan. Pengarah JAKOA Perak sebagai mengantikan Tuan Ketua Pengarah yang tidak dapat hadir, wakil Jabatan Hutan, peguam, pesuruhjaya SUHAKAM dan juga YB Senator OA tuan Bob Manolan. Sepanjang persidangan kami telah bersama-sama mengupas dan mengulas perubahan dan perkembangan isu-isu semasa OA terutamanya pengiktirafan tanah OA, pembangunan dan lain-lain. Amat mendukacitakan nampaknya sepanjang tempoh ini apa yang diperjuangkan oleh JKOASM berkenaan isu-isu OA di atas tidak ada perubahan. Malah keadaan masih amat mendukacitakan dan memerlukan usaha rundingan, perbincangan antara kerajaan dan Orang Asli harus berterusan.

Dari pihak Orang Asli baik melalui JKOASM atau pertubuhan Orang Asli yang lain, usaha-usaha untuk mendapatkan pengiktirafan wilayah tanah adat dari pemerintah telah dibuat dengan pelbagai cara seperti; Inkuiri Nasional Hak Tanah oleh SUHAKAM, penubuhan taskforce di bawah Jabatan Perdana Menteri,  penubuhan Kabinet Tanah Orang Asli dan  oleh komuniti melalui penghantaran memorandum, surat-menyurat, perbincangan, mesyuarat, penyerahan peta komuniti, membawa kes ke mahkamah dan akhirnya ada negeri yang terpaksa mengadakan blockade sebagai jalan terakhir seperti kes di Gua Musang.. Malangnya setakat ini maklumbalas dari pihak kerajaan terdahulu berkenaan tuntutan tersebut adalah kerajaan perlu mengkaji semula, walhal perkara ini telah banyak dikaji oleh pelbagai pihak baik akademik ataupun badan berkanun. Pada pandangan kami pihak kerajaan hanya perlu membaca, memahami dan melaksanakan dapatan dan syor-syor yang dalam Inkuiri Nasional Hak Tanah, SUHAKAM.

Selepas 60 tahun bersedih, Orang Asli sekarang mempunyai harapan baru dengan adanya kerajaan PH baru yang dengan jelas menyatakan komitment dan janji untuk mengembalikan hak tanah adat dan menghormati maruah dan jatidiri Orang Asli. Kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan PH menyempurnakan apa yang termaktub dalam manifesto PH PRU 14 khusus nya janji nombor 38.

Apa yang amat membimbangkan kami adalah wilayah tanah adat OA terus-terusan diceroboh oleh pelbagai pihak malah ada sesetengah kampung sudah hilang wilayah tanah adat mereka, penempatan yang tinggal cukup-cukup hanya penempatan.

Dengan itu, sempena persidangan ke-10 JKOASM ini dan berdasarkan kepada manifesto kerajaan Pakatan untuk membela dan memberi pengiktirafan tanah wilayah adat OA maka kami telah sebulat suara berharap supaya Kerajan PH dapat menunaikan beberapa perkara berikut:

  1. Sebulat suara menggesa kerajaan PH melaksanakan kesemua 18 syor dalam Laporan Inkuri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal SUHAKAM. www.SUHAKAM.org.my/wp-content/uploads/2014/02/Ringkasan-Laporan-Inkuari-Nasional.pdf

  1. Menunaikan janji dalam manifesto PH dalam PRU ke 14 untuk mengiktiraf hak OA terutama hak tanah, hak penentuan diri, pendidikan dan pembangunan serta merasa selamat.

  1. Mengalu-alukan kerajaan meneruskan usaha perundingan yang berpandukan Iizin-MABT dengan melibatkan semua lapisan kepimpinan OA untuk mencapai kata sepakat dalam hal memberi pengiktirafan tanah OA dan pembangunan OA.

  1. Beberapa perkara yang telah diputuskan oleh kerajaan terdahulu seperti memberi hanya tapak rumah untuk masyarakat OA keseluruhannya hendaklah tidak diteruskan dan mendapat persetujuan terlebih dahulu dari komuniti setempat memandangkan setiap komuniti dan suku kaum mempunyai kedudukan dan status keluasan dan keperluan tanah yang berbeza.

  1. OA tidak menuntut tanah seluruh negara diberi kepada kami tetapi hanya apa yang kami warisi dari nenek moyang kami kepada anak cucu kami sahaja kerana kebanyakan tanah yang kami tuntut adalah tanah yang kami miliki secara tradisi secara turun temurun bukan sesuatu kawasan yang tiada kena mengena dengan kami.

  1. Mengalu-alukan penekanan terhadap konsep tanah dan wilayah adat Orang Asli dan mengesa  kerajaan menerima dan mengiktirafkan konsep tersebut.

  1. Menyokong penuh syor ke-17 dalam Inkuiri Nasional SUHAKAM mengenai Hak Orang Asli/Asal yang menonjolkan tanah sebagai nadi kepada identiti Orang Asli memandangkan hubungan rapat antara Orang Asli dengan tanah mereka yang bukan sahaja sebagai sumber kepada ekonomi mereka tetapi untuk menjamin penerusan kerohanian, budaya dan identiti mereka sejajar dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan beragama.

  1. Pemeliharaan kepentingan tanah Orang Asli juga penting untuk pembangunan dan kesejahteraan Orang Asli. Oleh yang demikian maka ia amat memerlukan tindakan afirmatif di pihak Kerajaan untuk mengiktirafkan hak tanah dan wilayah adat Orang Asli secara nyata.

  1. Sejajar dengan konsep tanah dan wilayah adat Orang Asli dan kepentingan tanah kepada Orang Asli seperti dinyatakan di perenggan (4) di atas, kami mengesyorkan supaya pengiktirafan tanah Orang Asli dilakukan melalui Kaedah Hakmilik bersama/komunal di mana Kuasa Dimiliki Oleh Komuniti, mengurus, mengguna dan memulihara tanah tersebut dipegang sepenuhnya oleh Orang Asli. 

  1. Pengiktirafan hakmilik komunal yang dicadangkan juga harus memberi jaminan dan pelindungan serta pemuliharaan hak asasi kaum perempuan dan kanak-kanak ke atas tanah dan wilayah adat dari pelbagai aspek.

  1. Sehubungan ini, Akta 134 dan akta lain yang berkaitan hendaklah dipinda untuk memasukkan peruntukan bagi tujuan merealisasikan perlaksanaan kaedah tersebut. Sekiranya perlu, satu undang-undang baru hendaklah digubal bagi tujuan ini.

  1. Mengesyorkan seksyen 3 Akta 134 dipinda untuk tujuan memberi kuasa menentukan siapa Orang Asli itu dipegang oleh Orang Asli sendiri dan bukannya Menteri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA.

  1. Menuntut supaya Kerajaan, Pusat dan Negeri menuruti prinsip Izin-MABT dalam segala perbincangan/urusan/perlaksanaan mengenai undang-undang/dasar dsbnya berkaitan hak tanah Orang Asli serta lain-lain perkara yang melibatkan kepentingan Orang Asli.

  1. Menyokong penuh syor supaya peranan JAKOA dikaji semula memandangkan Jabatan ini telah gagal untuk menangani isu tanah Orang Asli dan juga atas sebab gagal membawa pembangunan kepada Orang Asli sebagaimana yang sepatutnya.

  1. Menuntut supaya hak tanah dan wilayah adat Orang Asli dimasukkan secara jelas dan nyata di dalam Perlembagaan Persekutuan.

  1. Menuntut Kerajaan-kerajaan Negeri agar segera merealisasikan peruntukan Perkara 8(5)(c) bagi melindungi tanah wilayah adat Orang Asli.

  1. Menyokong penuh satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk Orang Asli bagi tujuan di atas sebagaimana yang disyorkan oleh SUHAKAM.

18.    Wilayah tanah adat harus diiktiraf berpandukan peta komuniti yang dibuat sendiri oleh       komuniti Orang Asli sendiri.

19.    Wilayah tanah adat harus diiktiraf melalui peta komuniti yang dibuat sendiri oleh komuniti Orang Asli sendiri atau dibincangkan dengan komuniti Orang Asli setempat sebelum kerja-kerja pengukuran kawasan dijalankan oleh pihak berkenaan.
Dengan semangat baru satu negara yang berkobar-kobar, kita OA ingin bersama-sama dalam membina Malaysia baru yang sudah lama di ingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Masyarakat OA tidak seharus nya menunggu-nunggu lagi untuk penyempurnaan hak–hak OA yang selama ini telah diabaikan. Waktu nya sekarang: Masyarakat OA, sebagai sebahagian masyarakat Malaysia, harus dihormati dan diiktiraf. Laungan OA tetap sama “Tanah Itu ada lah kehidupan kami” dan “tiada tanah tiada budaya, tiada budaya tiada bangsa”.

Disediakan oleh : 
Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
Tijah Yok Chopil (017 7264746) - Pengerusi  JKOASM

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

No comments:

Post a Comment