Saturday, February 04, 2017

Parti Pembangkang menjejaskan keinginan rakyat mendapat kerajaan selain dari UMNO-BN?

Apa yang diinginkan adalah kerajaan alternatif selain daripada kerajaan UMNO-BN - Rakyat mahu menikmati kerajaan alternatif, sesuatu yang kita belum menikmati sejak Kemerdekaan negara. Jika kerajaan pembangkang kita tak suka, boleh kita tolak sahaja PRU seterusnya. 

UMNO-BN tidak pernah ditumpas di peringkat Persekutuan memberanikan mereka membuat sesuka hati...lihat bagaimana Najib dan kerajaan UMNO-BN bertindak selama ini, dan kini dalam isu berkenaan 1MDB, isu wang berbillion dalam akaun peribadi Najib...

Alangkah baik jika rakyat Malaysia akhirnya ada peluang memilih di antara 2 atau lebih pakatan parti politik untuk menjadi kerajaan...Rakyat akan berkuasa kembali kerana semua parti akan menyedari bahawa jika mereka tidak berlaku adil atau melakukan terbaik untuk rakyat Malaysia - rakyat Malaysia ada pilihan, dan akan tolak parti memerintah gitu sahaja...Rakyat bukan bodoh tetapi arif...

KENAPA PILIHANRAYA PERSEKUTUAN DAN NEGERI PADA MASA YANG SAMA? KENAPA BUKAN PADA MASA YANG LAIN?

Pernahkah anda pernah memikirkan mengapa kerajaan UMNO-BN mahu mengadakan kedua-dua pilihanraya Parlimen dan DUN Negeri pada masa yang sama? Satu sebab mungkin adalah kerana mereka takut pada rakyat, takut rakyat akan kurang senang memberikan kuasa kepada hanya satu parti...Contohnya, jika UMNO-BN menang pilihanraya Parliament, ramai akan mungkin mengundi pembangkang untuk mentadbir kerajaan peringkat Negeri...supaya ada 'check and balance'

Finomena ini berlaku bila ada pilihanraya kerajaan tempatan dulu(Local Council Elections) - kebanyakkan menang oleh pembangkang. Rakyat akan mengimbangkan kuasa - tidak akan memberikan kuasa mutlak kepada hanya satu pihak, khususnya jika tak 100% percaya ..Justeru, pilihan raya kerajaan tempatan diberhentikan digantikan dengan perlantikan oleh kerajaan negeri - dan PRU Parlimen dan DUN terus diadakan serentak. Pilihanraya Senator di mana rakyat memilih Senator pun belum ada di Malaysia. Ini pendapat saya, apa pendapat saudara.

Sedih kerana ada parti pembangkang yang sama pendirian dengan UMNO-BN. Justeru, tidak di adakan pilihanraya ketua kampung/taman/kampung orang asli pun di Negeri yang ditadbir - tak ada minat juga memilih Majlis Bandaran secara demokratik - cara UMNO-BN diteruskan, orang parti mereka dilantik... 

TETAPI kini nampaknya kita lihat pula 'pembangkang lawan pembangkang'...sedih sangat...

Pada PRU lepas, kita ada Pakatan Rakyat - gabungan eksklusif PAS, DAP dan PKR (Saya kata eksklusif kerana PR nampaknya tidak minat membawa semua parti pembangkang lain di Malaysia dalam PR - banyak parti pembangkang juga mengambil pendirian tidak mahu bertanding ...biarkan PR lawan UMNO-BN ...satu lawan satu...

SELEPAS PRU lepas, walaupun menang 3 Negeri, Pakatan Rakyat telah berpecah...kini pembangkang juga nampaknya ada masalah... 

APA CABARAN PEMBANGKANG?



1 - PAS dan AMANAH(Parti Amanah Negara)

Mereka yang pecah daripada PAS menubuhkan Parti Baru akhir tahun 2015 - di mana akibatnya beberapa MP dan ADUN yang menang di bawah nama PAS telah melompat pergi ke AMANAH. Mengapa mereka meninggalkan PAS - kerana mereka kalah pilihanraya PAS? Adakah terdapat satu isu/prinsip asas yang menyebabkan mereka meninggalkan PAS selain daripada kalah pilihanraya PAS? Jika mereka tinggalkan sebelum pilihanraya, mungkin asas tubuhkan lebih kukuh...

Ini merumitkan keadaan kerana mana-mana parti DAP, PKR, UMNO, dll juga akan mendapati sukar bekerjasama dengan parti sedemikian yang ditubuhkan ahli yang meninggalkan parti mereka...jika lebih masa telah berlalu, mungkin keadaan akan lebih bertambah baik. Jika dilihat,PKR pun sehingga hari tidak mahu kerjasama dengan Parti Rakyat Malaysia(PRM).

Yang menyedihkan dan merumitkan keadaan, adalah bahawa tindakan PKR adalah untuk merapatkan diri dengan Amanah, dan bersama DAP telah menubuhkan Pakatan baru - Pakatan Harapan. [DAP situasinya lain..dijelaskan kemudian]. Kini PAS semestinya sukar duduk dalam semeja dengan Amanah, dan mungkin juga PKR.

2 - PAS DAN PKR?

Mengapa PKR? Kerajaan Selangor adalah kerajaan Pakatan Rakyat (DAP,PAS dan PKR). Tetapi adakah apa yang dikenali sebagai 'Kajang Move' [initiatif mahu menjadikan Anwar ADUN yang akan kemudian diharapkan akan dijadikan Menteri Besar] dibincang dan dipersetujui terlebih dahulu oleh DAP, PAS dan PKR - ada yang kata, ianya dibuat oleh PKR sahaja - tanpa perbincangan dan persetujuan PAS dan DAP)] Tindakan ini menyebabkan keretakan dalam Pakatan Rakyat. 

Selepas itu, bila Menteri Besar mengantikan Khalid dipilih, sebelum PAS membuat keputusan parti beberapa ADUN PAS di Selangor mendedahkan keputusan mereka. Betul, parti politik tidak ada hak memilih Menteri Besar - hanya ADUN tetapi, biasanya ketiga-tiga parti yang menjadi ahli Pakatan akan bincang dan setuju secara 'informal' sebelum apa-apa.

3 - PAS DAN DAP 

PAS dan DAP pada setiap masa ada percanggahan pendapat mengenai beberapa isu...Banyak kenyataan keras akan dibuat oleh kedua-dua parti tersebut TETAPI tidak pernah satu USUL di bawa kepada Mesyuarat Agung dan diluluskan - kini jadi Resolusi PAS. Sebagai Resolusi, kini Hadi Awang dan pimpinan PAS terikat - mereka tidak boleh bertukar pendirian atau melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Resolusi tersebut. Resolusi hanya boleh dipinda atau dibatalkan melalui satu lagi Usul dalam Mesyuarat Agung. Justeru, PAS terikat dan sukar mengatasi halangan ini... 

Mengapa Resolusi tersebut dibentangkan? Adakah ianya hanya akibat (atau susulan terpaksa) pertikaian Team A dan Team B dalam pilihanraya PAS

3. PAS dan RUU untuk buat pindaan kepada Akta 355

Usul MP Pembangkang biasanya tidak akan dapat dibincangkan kerana tak cukup masa - tetapi kali ini UMNO-BN mengambil peluang untuk menghebohkan Usul Hadi Awang ini dan mahu pula bincang di Parlimen.

Harus diingat bahawa kini sudah wujud Akta 355, dan apa yang diusulkan oleh Hadi Awang adalah hanya untuk meningkatkan hukuman sedia wujud dalam Akta tersebut. Akta 355 tidak menetapkan 'jenayah' - hanya hukum maxima yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah. Usul Hadi Awang tidak cuba memasukkan hukuman 'potong tangan' atau hukuman mati - justeru keliru mengapa pula isu ini menjadi 'isu hangat' - Usul ini bukan untuk memasukkan hudud atau Qisas...Siapa yang membantah pindaan yang dicadangkan Hadi Awang? Tak faham mengapa perlu ada perhimpunan awam menyokong atau membantah...Isu mungkin timbul bila peringkat negeri berlaku pindaan meningkatkan hukuman jenayah tertentu...pada masa itu, kita harus fikir wajar atau tidak. Bagi diri saya, saya membantah hukuman 'corporal' atau yang merupakan penderaan - sebatan bagi saya harus dimansuhkan dari semua undang-undang di Malaysia. Begitu juga dengan hukuman mati..Isu mahu meningkat kadar maxima denda atau tempuh penjara tidak menimbulkan masalah dan yang menentukan hukuman harus hakim berkenaan...justeru jangan ditetapkan hukuman mandatori minima... hanya hukuman maxima yang boleh dikenakan.

Act 355 and Hadi's Motion - Are we unnecessarily jumping to conclusions? Prejudice?


Tetapi isu ini dengan sendirinya mencederakan pembangkang - PAS dan mungkin juga DAP. Isu 'negara Islam' atau cara Islam juga menjadi tekanan PAS sebelum PRU yang berkesudahan Pembangkang(terutama PAS) hilang kerajaan negeri Trengganu. 

PAS sentiasa bercakap pasal cara Islam tetapi pada masa yang sama, jika dilihat Kelantan - apakah sebenarnya yang 'Islam' yang PAS berjuang untuk? Apakah polisi PAS(atau pendirian Islam) mengenai isu pekerja, pencukaian, alam sekitar, Orang Asli, Pendidikan, Perubatan dan Kesihatan, Pencukaian dan GST, Korupsi dan Kleptocracy, Penswastaan, GLC,....yang dilihat adalah PAS mahukan undang-undang syariah..(kini tambah hukuman)...selain daripada itu tak jelas. PAS terpaksa membentang dasar lebih khusus mengenai apakah yang dimaksudkan 'cara Islam' untuk setiap isu tersebut? Adakah kerajaan Kelantan mengamalkan pentadbiran cara Islam - cuba nyatakan perbezaan cara pentadbiran yang dilaungkan PAS dan cara pentadbiran kerajaan UMNO-BN? Kita mahukan cadangan khusus - jangan cadangan 'vague'...

Tetapi, ini bukan sahaja masalah PAS tetapi juga masalah semua parti pembangkang - tak ada pendirian khusus atau dasar jelas mengenai apakah 'alternatif' yang mereka cadangkan. Apakah yang akan tukar? Adakah pembangkang akan pastikan bekalan air, bekalan letrik, pengangkutan awam khususnya kereta api dan bas, jalanraya, pembetungan semua akan ditarik balik daripada syarikat swasta dan kembali di bawah kerajaan? Adakah pembangkang akan memastikan bahawa subsidi akan diberikan untuk memastikan harga barangan makanan sentiasa rendah - minyak masak, beras, tepung, gula, susu, telur, gas masak...? ....Dulu pembangkang janji akan mereka kembalikan pilihanraya kerajaan tempatan(Local Council Elections) ...tetapi sehingga kini tak jadi..

Ketiadaan Nik Aziz pun telah menjejaskan PAS - khususnya di kalangan mereka yang bukan ahli PAS. Beliau sebagai seorang 'simple' mempunyai daya tarikan cukup tinggi. Tindakan PAS mencalunkan mereka yang bukan Islam dalam PRU yang lepas juga meredakan kebimbangan ramai...Tetapi bila isu Pindaan RUU 355 ini timbul, kesannya adalah mungkin kehilangan sokongan ramai yang telah sanggup undi calun PAS pada PRU lalu...



Parti Bersatu Pribumi Malaysia - Muhyiddin, Mahathir, Mukriz

Ya - lagi sekali bila Timbalan Perdana Menteri dipecat dan dibuang parti(Bukan sendiri tinggalkan parti berasaskan percanggahan pendapat, prinsip atau nilai) - kita melihat lagi satu parti pembangkang muncul. [PKR adalah contoh parti sedemikian..]. 

Sedih sekali ramai ahli dan parti politik pembangkang sedia wujud terus sahaja pi pelawa parti baru ini berjuang bersama, dan kini ada pula perjanjian dan.... 

Berapa MP dan ADUN BN mengikut Muhyiddin keluar UMNO dan menyertai Parti Bersatu? Berapa MP dan ADUN BN keluar UMNO bersama Mukriz dan/atau Mahathir?...Masa kamu pemimpin parti atau kerajaan, ramai penyokong - tetapi bila anda 'hilang' posisi atau jawatan, kebanyakkan penyokong akan meninggalkan anda dan terus menjadi orang yang pegang kuasa yang baru - ini mungkin budaya UMNO-BN. Jika diimbas kembali, sama juga berlaku bila Anwar disingkirkan...Berapa MP atau ADUN UMNO-BN meninggalkan parti dan menyertai parti Anwar?

Harapan ramai adalah bahawa Parti Bersatu akan berjaya menarik sokongan ahli UMNO atau penyokong UMNO-BN - tetapi menurut pandangan saya ini kemungkinan besar tidak akan berlaku. Sejak PRU lepas, banyak perkara telah berlaku termasuk isu 1MDB, penemuan billion dalam akaun peribadi PM Najib, dan lain-lain - ini kemungkinan besar telah menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia mahu menolak UMNO-BN dan sokongan kepada pembangkang telah bertambah...

RISIKO menyokong Muhyiddin dan partinya, adalah kemungkinan bahawa selepas PRU, selepas memenangi kerusi, mereka kemungkinan besar akan kembali kepada BN atau UMNO. Mungkin ada juga mereka yang dahulunya dari UMNO-BN kini dalam PKR yang akan kembali ke UMNO-BN. Mungkin kita akan lihat lagi apa yang berlaku di Perak - di mana hasil beberapa ADUN 'lompat parti', kerajaan pembangkang ditumpaskan dan kerajaan UMNO-BN terus kembali berkuasa...Saya risau jika UMNO-BN dalam PRU akan datang kalah tipis - adakah MP atau ADUN pembangkang dari Parti Bersatu Pribumi dan mungkin juga PKR mungkin rebut peluang untuk lompat parti, Mungkin berlaku...mungkin tak berlaku..

Semangat 46 - harapan rakyat dahulu akhirnya kembali ke UMNO...Sejarah membuat saya risau mengenai mereka yang baru tinggalkan(atau dibuang keluar) parti UMNO-BN kini 'pembangkang' - lebih baik mereka tidak bertanding PRU akan datang ...hanya menyokong pembangkang menang - PRU selepas itu, mungkin OK..


Cara Pentadbiran Kerajaan Dibawah Pembangkang

Bila tidak ada kerajaan yang ditadbir pembangkang (kecuali Kelantan), keadaannya berbeda. Kini berlainan, sebab kini rakyat juga akan menilai kerajaan di bawah pembangkang...Apakah perubahan cara pemerintahan? Apa perubahan dasar atau polisi? Kini pun ada juga 'skandal' atau perkara yang tak betul berlaku dalam kerajaan negeri di bawah pembangkang...

Pakatan Rakyat, dan kini pula ada Pakatan Baru - adakah ini semua pakatan untuk pilihanraya saja - tetapi selepas itu pentadbiran kerajaan negeri nampaknya dibiarkan kepada Menteri Besar? Mengapa barisan pimpinan Pakatan Pembangkang tidak terus memastikan bahawa kerajaan negeri juga ditadbir bersama - dan bukan sahaja suka hati setiap Menteri Besar (atau parti Menteri Besar)..

PAS telah menjadi Menteri Besar di Kelantan, Trenganu, Kedah dan untuk sedikit masa di Perak. Nyata cara pentadbiran berbeza - sebab membawa kepada kehilangan Trengganu dan Kedah...jika berbanding dengan Kelantan di bawah Nik Aziz dulu...Kini Menteri Besar Kelantan sudah orang lain dan kini wujud pula dakwaan pembalakkan haram dan isu ketidakprihatinan hak Orang Asli.

Negeri ditadbir Nik Aziz stabil dan rakyat terus menyokong kerajaan berkali-kali. Trengganu di mana Menteri Besar adalah Hadi Awang hanya satu penggal sahaja...sama dengan Kedah. Bila menjadi kerajaan, dengan sumber dan kuasa, memberikan peluang sangat besar untuk berdamping dengan rakyat dan tunjukkan bahawa Negeri di bawah kerajaan pembangkang? Kenapa Kedah dan Trengganu boleh hilang? Adakah semuanya bergantung kepada sifat, perwatakan, dan cara pentadbiran Menteri Besar? Pemimpin tertinggi parti politik mesti menyedari bahawa setengah orang memang ahli politik dan pemimpin parti politik yang cukup bagus - tetapi mungkin tidak mempunyai ciri-ciri perlu(atau kelayakkan) menjadi Menteri Besar atau pentadbir kerajaan yang baik...atau MP atau ADUN. Setengah orang mempunyai kelayakan perlu untuk melakukan kedua-dua tetapi bukan selalu. Adakah Trengganu atau Kedah akan kembali kepada UMNO-BN jika Nik Aziz yang menjadi Menteri Besar?

Nyata setiap negeri ada perbezaan kehendak rakyat TETAPI dasar, polisi dan prinsip asas mestilah sama  - iaitu polisi, dasar dan prinsip yang dipersetujui ketiga-tiga DAP, PAS dan PKR. 

Justeru, pada pendapat saya, kepimpinan tinggi(Presiden) parti pembangkang harus tidak memegang jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri - tetapi kekal sebagai Majlis yang akan memantau selalu kesemua kerajaan di bawah pakatan pembangkang, dan pastikan dasar, nilai, prinsip...yang dipersetujui akan dilaksanakan oleh Menteri Besar...[Jika Presiden atau pemimpin parti juga Menteri Besar, susah pemantauan ini dijalankan...]

PRU akan datang - Ini bukan masa untuk hanya lawan untuk kerusi Parlimen atau DUN yang akan ditanding parti mana, atau berapa kerusi, atau jika menang siapa harus jadi Perdana Menteri atau Menteri Besar. 

Sekarang pendirian bersama harus dipersetujui - adakah POCA, POTA dan SOSMA akan segera dimansuhkan pada persidangan Parlimen Pertama, Adakah undang-undang menghalang diadakan pilihanraya kerajaan tempatan(local council elections) akan segera dipinda supaya local council elections akan di adakan dalam masa 100 hari selepas pilihanraya...Persediaan mesti dibuat kini - Jangan selepas PRU, kata pula nak kaji dan sebagainya untuk melengahkan implementasi program...

GST - apakah yang pembangkang akan buat? Jangan lupa cukai diperlukan untuk operasi kerajaan - jadi apakah yang pembangkang akan buat? Adakah cukai pendapatan orang kaya akan dinaikkan? Adakah kemudahan kesihatan akan diberikan secara percuma atau macam di Thailand - hanya perlu bayar lebih kurang RM3 untuk semua - caj wad, surgeri, dll...? Adakah kerajaan akan mengambil alih semua 'highway' dari pihak swasta dan tol akan dihapuskan? Adakah pengendalian jalan akan diambil alih oleh JKR dan tidak lagi diswastakan? Adakah parti pembangkang sudah berbincang dan sampai kepada persetujuan mengenai perkara sebegini???

PEMILIHAN MP DAN ADUN?

Setengah ahli politik ada kelayakkan yang perlu, setengah tidak...Setengah boleh ceramah dengan aggresif dan seronok dengar ...tetapi jika dilihat 'isi' tidak ada atau tidak memadai. Boleh kritik tetapi tak adapun cadangan alternatif...Berapa ADUN dan MP kini menimbulkan isu, mengeluarkan kenyataan media, mengadakan dialog bersama rakyat, hadir semua sesi Parlimen dan/atau DUN, mengemukakan soalan kepada kerajaan di Parlimen - atau soalan bagus, ada kefahaman tentang isu di Malaysia. Berapa MP, ADUN dan parti politik telah mengeluarkan kenyataan atau membuat pendirian mengenai Siti Noor Aishah Atam - Release Siti Noor Aishah Atam from Poca restrictions, kata 36 kumpulan (Malaysiakini, 20/12/2016)

PKR MP Shamsul Iskandar should explain why apparently only 5 questions at last Parliamentary session?

MP Abdullah Sani's Parliamentary Questions Analysed - Improvement Needed to Improve Quality?

**Sebagai contoh, saya melihat 2 MP sahaja - tetapi penilaian sedemikian perlu untuk semua MP/DUN. Kebanyakkan MP/ADUN ada dapat jawapan daru kerajaan, tetapi tak pula berkongsi dengan rakyat - Mengapa?



MASA DEPAN 

Rakyat pada masa ini sudah tidak mahu lagi kerajaan UMNO-BN - sudah terlalu lama berkuasa tak pernah dikalahkan - Justeru, perlu sangat ditolak UMNO-BN pada PRU akan datang...Saya berpendapat ini harus menjadi keutamaan...

Objektif ini sememangnya boleh dicapai selepas 1MDB, RM2.6 Billion, dll... Tetapi kini parti pembangkang harus berhenti bertikai antara satu sama lain - dan bersatu. 2 Parti yang mempunyai sokongan rakyat yang besar adalah DAP dan PAS...kini mungkin tinggal DAP saja kerana masalah PAS-Amanah,dll. Mungkin lebih ramai orang lain harus tampil kehadapan untuk bertanding jadi MP/ADUN?

Ego pemimpin parti mungkin perlu diketepikan - mungkin kerusi Parlimen dan/atau DUN tidak lagi diagihkan kepada mana-mana parti tetapi kepada calun terbaik setempat yang terbaik. Kini, jika kerusi ini kerusi PAS, calun dari tempat tersebut dari parti pembangkang yang lain atau mungkin belum lagi masuk parti jika diminta bertanding diketepikan...Ini tidak baik - pilih orang terbaik?

MP atau ADUN yang kurang senang duduk berbincang dan menjawab soalan mengenai isu semasa atau perkara berkaitan rakyat mungkin sebab 'takut' dan sebenarnya sendiri tak tahu isu dan tak ada pun idea untuk cara alternatif...harus ditolak. Mereka hanya suka pi majlis perkahwinan atau bila seseorang meninggal dunia atau melawat mangsa banjir/kebakaran - di mana hanya perlu bersalaman dan kata 'Hello'...mereka hanya suka buat ucapan - di mana orang tak dapat tanya apa-apa soalan atau berdebat...[Ini zaman internet - senang sekali ada blog/laman web sendiri dan nyatakan pendapat sendiri mengenai berbagai isu...kenapa tak buat?]

Parlimen adalah tempat di mana MP akan membincangkan undang-undang yang harus dipinda, dan/atau yang baru dibuat. Mengapa peruntukkan undang-undang ini harus disokong atau dipinda atau ditolak terus. Adakah MP (atau bakal MP) anda ada kebolehan ini?

Parlimen adalah tempat di mana MP akan sentiasa memantau kerajaan - Semua hujahan harus mempunyai 'poin'...dan isi...MP kena siasat..dan dedah...

Apa yang kamu mahu? Apa yang rakyat mahu? Adakah anda mahu sesuatu yang berkualiti - atau adakah hanya pentingkan 'jenama' tapi tidak mementingkan mutu dan kualiti MP dan ADUN kita? Adakah kita mahukan MP dan ADUN penuh masa atau 'separa masa'? Adakah kamu mahu MP atau ADUN yang hanya mahu pangkat, kuasa dan memntingkan diri - atau adakah kamu mahu MP atau ADUN yang benar-benar mengutamakan rakyat dan negara?

Masa depan anda ditangan anda... 

 
 

   






  










No comments:

Post a Comment