Wednesday, March 15, 2017

Syed Mohd Azlan - Polis 'pembunuh',yang 'cover up' kesalahan - kenapa belum didakwa di Mahkamah?

SYED MOHD AZLAN BIN SYED MOHAMED NUR mati dibunuh dalam tahanan polis TETAPI sehingga kini angota polis yang telah melakukan pembunuhan, dan kesalahan jenayah sapertimana dinyatakan dalam dapatan(findings) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan[Enforcement Agencies Integrity Commission](EAIC) nampaknya belum lagi dituduh dan dibicarakan...

Suruhanjaya mendapati terdapat perlakuan jenayah yang melibatkan unsur niat bersama atau pensubahatan (abetment) oleh B1, B2, B3, B4 dan A1 bagi melakukan serangan kekerasan fizikal secara sengaja ke atassi mati yang telah mengakibatkan kecederaan dan kematian ke atas si mati, dan perlakuan ini adalah merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang khususnya di bawah seksyen 302, seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 atau seksyen 107 Kanun yang sama.

Suruhanjaya juga mendapati perlakuan anggota polis B4 yang mengarahkan A29 supaya melupuskan barang bukti dan menyembunyikan saksi material iaitu secara mengarahkan A29 supaya menghilangkan diri, adalah satu kesalahan berunsur jenayah di bawah seksyen 118 atau seksyen 119 Kanun Keseksaan yang mewajarkan pendakwaan jenayah dibawa terhadap B4 tersebut.

Pada 3 November 2014, jam lebih kurang 3.30 pagi, sepasukan polis seramai 13 orang anggota termasuk pegawai yang diketuai oleh B1 yang berpangkat Inspektor telah membuat serbuan ke atas sebuah bilik di rumah bernombor 62, Kampung Simon, Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor dan telah menangkap si mati. Tiada apa-apa senjata api dijumpai dari si mati.Selepas ditangkap, si mati dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit. Soal siasat telah dijalankan oleh pegawai dan anggota-anggota serbuan ke atas si mati ...Satu laporan polis tentang kematian si mati telah dibuat oleh B1 pada jam 10.15 pagi, 3 November 2014 melalui Bandar Penawar Report No. 002169/14.

Berikutan kematian dalam tahanan polis ini, satu siasatan telah dilakukan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan(EAIC). Petikan daripada lapuran tersebut ada dibawah...


Secara ringkas - angota polis didapati telah melakukan kesalahan - yang merupakan kesalahan dibawah undang-undang jenayah di Malaysia. 

INTEGRITI polis adalah penting - kita tidak mahu angota polis yang telah melakukan jenayah kekal dalam Polis DiRaja Malaysia.

Mereka yang melakukan kesalahan jenayah mesti dituduh dan dibicarakan di Mahkamah terbuka - bukan sahaja polis yang membunuh...tetapi juga mereka yang cuba menyembunyikan kesalahan ini atau 'cover-up'. Polis yang 'kotor' harus segera dikeluarkan untuk mengembalikan integriti polis - serta juga sebagai 'DETERENCE'(penghalang) yang akan memastikan mana-mana angota polis lain pada masa akan datang tidak akan berani menyalahgunakan kuasa dan/atau melakukan kesalahan jenayah lagi.

Tindakan Disiplin Dalaman - itu boleh digunakan untuk salah laku kerja - tetapi untuk kes pecah amanah saperti ini, di mana polis terlibat dalam pembunuhan, penderaan(torture), aktiviti melupuskan bukti atau tindakkan menghalang penyisatan, pemalsuan kandungan lapuran/diari, tindakan 'cover up' atau berdiam diri demi bantu rakan polis yang melakukan kesalahan jenayah - kita perlukan polis terlibat segera disiasat, dituduh di Mahkamah dan seterusnya didakwa dengan betul...Kita tak mahu kes sedemikian 'ditutup' atau siapa-siapa mengarahkan kes ditutup gitu sahaja..

Kalau kita tidak ada polis yang bercekap benar dan beramanah, kepercayaan rakyat kepada polis dan pihak pendakwaan akan luput...Sama juga dengan hakim.

Daripada insiden 'mata hitam' Anwar, kita pernah melihat banyak kes, apabila melibatkan polis, yang nampaknya macam telah di 'cover-up' - Kes Syed Mohd Azlan pun, jika EAIC tidak terlibat kemungkinan polis terlibat dalam kesalahan jenayah, atau kesalahan jenayah tersebut' mungkin 'cover-up' dan yang melakukan kesalahan, bukan sahaja berasaskan undang-undang negara tetapi juga SOP(atau Arahan Kepimpinan Polis)...akan terlepas gitu sahaja..

Siasatan EAIC sudah mendedahkan jenayah yang berlaku, serta juga siapa yang telah melakukannya...tetapi mengapa nampaknya tidak ada pendakwaan dan/atau pendakwaan di Mahkamah terbuka? Adakah polis tersebut masih lagi polis - adakah kini sudah naik pangkat? Polis 'kotor' harus disingkirkan daripada pihak polis - 'tiada maaf bagi mu'...Polis HARUS BERSIH CEKAP DAN AMANAH...Itu yang rakyat Malaysia harus dapat...

Malangnya, akibat tindakan salah beberapa orang polis, kesemua polis mendapat 'nama buruk' dan hilang kepercayaan rakyat. Justeru, khususnya polis dan pihak pengkuatkuasaan yang lain, tindakan segera dan 'terbuka' harus diambil bila jenayah atau kesalahan(khususnya yang melanggar undang-undang atau pecah amanah) dilakukan...

Rakyat diperlukan melapurkan bila mereka syaki jenayah telah berlaku - kalau polis sendiri tak buat bila jenayah dilakukan polis sendiri tidak lapurkan - sedih sekali, dan tidak boleh diterima...



Dapatan Siasatan yang diperolehi daripada lapuran tersebut adalah saperti ini...




9. DAPATAN SIASATAN
Dapatan dan syor berkaitannya.

9.1 Hasil daripada analisa dan dapatan siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya, didapati kematian Syed Mohd Azlan Bin Syed Mohamed Nur ada kaitan dengan penggunaan kekerasan secara fizikal oleh pihak
polis ke atas si mati.

9.2 Suruhanjaya menerima pakai laporan perubatan oleh Dr. Rohayu Binti Shahar Adnan (A22) iaitu Pakar Perunding dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, bahawa kematian si mati disebabkan oleh hentakan trauma tumpul pada dada si mati (blunt force trauma to the chest). Dapatan oleh doktor pakar tersebut adalah konsisten dengan keterangan yang terdapat khasnya keterangan A29 bahawa terdapat penggunaan kekerasan fizikal oleh anggota-anggota polis semasa tangkapan si mati.

9.3 Laporan bedah siasat juga melihatkan si mati mengalami 61 jenis kecederaan di tubuh badan. Sebahagian daripada kecederaan tersebut dialami oleh si mati semasa berusaha mempertahankan diri dari kekerasan dan serangan fizikal yang dilakukan ke atasnya oleh anggota-anggota polis yang menangkap dan membuat soal siasat ke atasnya.

9.4 Suruhanjaya mendapati bahawa keterangan oleh pegawai dan anggota serbuan bahawa berlaku pergelutan selama 3-5 minit di antara pasukan serbuan dan si mati adalah meragukan dan tidak kredibel setelah Suruhanjaya menimbangkan keterangan-keterangan berikut:

i.                    Serbuan ke atas si mati dibuat secara mengejut;
ii.                  Pasukan polis bersenjata lengkap dengan baju kalis peluru semasa serbuan;
iii.                Keadaan bilik yang bersaiz kecil dan tiada terdapat pintu lain atau tingkap yang terbuka tidak memungkinkan si mati untuk melarikan diri;
iv.                Semasa serbuan, hanya si mati dan A29 sahaja yang berada di dalam bilik tersebut;
v.                  Semasa serbuan, bilik tersebut mempunyai cahaya yang terang kerana lampu bilik yang sedang terpasang;
vi.                Saiz fizikal si mati yang tingginya ialah 160 cm dengan pinggang yang kecil iaitu 26 inci menggambarkan bahawa si mati mempunyai tubuh badan yang kecil dan kurus yang tidak memungkinkan si mati untuk bergelut semasa tangkapan dilakukan yang melibatkan 3 atau 4 orang anggota yang terlatih;
vii.              Keterangan A29 bahawa A29 dan si mati terus meniarapkan diri bersama-sama A29 apabila polis mengenalkan diri adalah lebih konsisten dengan fakta-fakta yang disebut di atas tadi iaitu (i – vi) bahawa tiada pergelutan 3-5 minit berlaku semasa tangkapan dibuat.

9.5 Walaupun pegawai dan anggota serbuan mendapati si mati ada mengalami kecederaan fizikal di tubuh badan dan pendarahan di beberapa bahagian muka, tetapi si mati telah tidak dibawa untuk mendapatkan apa-apa rawatan perubatan selepas ditangkap dan ini melanggari perenggan 4.4.2 SOP Tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM;

9.6 Suruhanjaya mendapati anggota polis B4 telah mengganggu bahan bukti di tempat kejadian apabila mengarahkan A29 (pemilik rumah tempat tangkapan) melalui panggilan telefon kepada A29 pada jam lebih kurang 8.40 pagi, pada 3 November 2014 untuk membersihkan tempat kejadian dan melupuskan tikar getah dan karpet yang mempunyai kesan darah si mati. Akibat daripada arahan tersebut, A29 telah membakar tikar getah. Bagaimana pun, A29 telah mengambil keputusan sendiri untuk menyimpan karpet yang dikatakan mempunyai kesan darah si mati kerana tidak yakin terhadap siasatan pihak polis (keterangan mengenai kewujudan simpanan karpet ini hanya diberitahu oleh A29 kepada Pegawai Penyiasat Suruhanjaya yang kemudiannya meminta supaya A29 menyerahkan karpet tersebut kepada Pegawai Penyiasat polis bagi tindakan siasatan dengan menghantar karpet tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia.)

9.7 Suruhanjaya juga mendapati anggota polis B4 telah membuat panggilan telefon kepada A29 mengarahkan A29 supaya menghilangkan /menyembunyikan diri selepas kejadian tangkapan dan kematian si mati. Perlakuan B4 tersebut adalah merupakan suatu salahlaku jenayah untuk menghilangkan atau menyembunyikan bukti atau keterangan material.

9.8 Suruhanjaya juga mendapati bahawa terdapat perlakuan untuk  menyembunyikan keterangan material (suppression of material evidence) apabila B1, B2, B3, B4 dan A1 iaitu pegawai dan anggota yang memasuki rumah serbuan mengetahui kehadiran A29 di tempat tangkapan si mati semasa serbuan tetapi telah gagal atau dengan sengaja tidak menzahirkan fakta material ini kepada Pegawai Penyiasat polis yang boleh mengakibatkan suatu siasatan yang adil dan lengkap tidak dapat dijalankan;

9.9 Suruhanjaya mendapati, walaupun terdapat barangan si mati seperti 2 buah telefon bimbit, kad pengenalan dan 1 beg pouch yang mana di dalamnya terdapat dompet wang, namun rampasan wang si mati itu telah tidak disenaraikan sebagai di antara barang yang dirampas dan tidak terdapat juga sebarang keterangan bahawa wang milik si mati telah dikembalikan semula kepada keluarga si mati. Keterangan B1 menunjukkan si mati memiliki sejumlah wang sewaktu tangkapan di sokong oleh keterangan A31. 

9.10 Siasatan juga mendapati si mati telah digari dengan menggunakan gari milik peribadi anggota B3 yang bukan dibekalkan oleh PDRM atau kerajaan. Kerana itu ada kemungkinan kesakitan dan kecederaan yang dialami oleh si mati semasa digari adalah akibat daripada penggunaan gari persendirian milik peribadi B3 yang tidak mengikut spesifikasi standard.

9.11 Suruhanjaya mendapati terdapat beberapa pemecahan serius ke atas SOP berkaitan tangkapan dan pengendalian orang tangkapan, pengendalian dan sitaan barang kes, menyembunyikan keterangan (rujuk perenggan 4.3.1.3; perenggan 4.3.5.2; perenggan 4.3.7.6 dan 4.3.7.8 SOP Tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 7 Mei 2012); perenggan 4.12 (perenggan 6.1 dan 8.1) SOP Jabatan Siasatan Jenayah (Prosedur Penggeledahan dan Rampasan – PDRM/PK(JSJ):12 bertarikh 30 April 2012).

9.12 Suruhanjaya mendapati terdapat perlakuan jenayah yang melibatkan unsur niat bersama atau pensubahatan (abetment) oleh B1, B2, B3, B4 dan A1 bagi melakukan serangan kekerasan fizikal secara sengaja ke atassi mati yang telah mengakibatkan kecederaan dan kematian ke atas si mati, dan perlakuan ini adalah merupakan kesalahan jenayah di bawah undang-undang khususnya di bawah seksyen 302, seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 atau seksyen 107 Kanun yang sama.

9.13 Suruhanjaya juga mendapati perlakuan anggota polis B4 yang mengarahkan A29 supaya melupuskan barang bukti dan menyembunyikan saksi material iaitu secara mengarahkan A29 supaya menghilangkan diri, adalah satu kesalahan berunsur jenayah di bawah seksyen 118 atau seksyen 119 Kanun Keseksaan yang mewajarkan pendakwaan jenayah dibawa terhadap B4 tersebut.

9.14 Pasukan Petugas juga mendapati walau pun pihak anggota serbuan yang menyoalsiasat si mati dan dikatakan si mati mengaku menyimpan pistol dengan bapa si mati, tetapi pengakuan tersebut diragui kebenarannya dan cara ianya didapatkan dari si mati dan tidak mempunyai sebarang nilai berat kerana hakikatnya tiada apa-apa pistol dijumpai oleh pihak polis dari maklumat yang dikatakan diberikan oleh si mati semasa disoalsiasat di balai polis sebaik si mati dibawa balik ke balai. Versi maklumat yang dikatakan diberikan oleh si mati juga  berbeza-beza dari keterangan saksi-saksi polis yang mendengar pengakuan yang dikatakan itu di mana ada yang mengatakan si mati  menyebut di simpan di dalam tilam di rumah dan ada yang mengatakan si mati menyebut disimpan dengan bapanya. 

9.15 Suruhanjaya menerima perkara-perkara dan dapatan-dapatan siasatan Pasukan Petugas selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(b) Akta 700, untuk tindakan tatatatertib dibawa terhadap pegawai dan anggota-anggota yang dikenalpasti di dalam laporan ini yang didapati telah melakukan salah laku sepertimana skop salahlaku yang diberikan di bawah seksyen 24 Akta 700.

9.16 Suruhanjaya juga menerima perkara-perkara dan dapatan-dapatan siasatan Pasukan Petugas selaras dengan peruntukan seksyen 30(1)(c) Akta 700, bagi pendakwaan jenayah diperakukan kepada Pendakwa Raya terhadap pegawai dan anggota yang didapati telah melakukan salah laku jenayah seperti yang dikenalpasti di dalam Laporan ini.-
Sumber - LAPORAN SIASATAN EAIC KE ATAS KES KEMATIAN SYED MOHD AZLAN BIN SYED MOHAMED NUR SEMASA DI DALAM TAHANAN POLIS DIRAJA MALAYSIA-



'These investigations must lead to the successful prosecution of policemen involved in the torture, illtreatment or death of an arrested person.'

No comments:

Post a Comment