Itu saranan bekas tahanan militan yang hanya mahu dikenali sebagai Afy, 33 tahun.

Katanya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) perlu di negara ini bagi membendung jenayah.

Kakitangan kerajaan yang pernah ditahan di bawah Akta SOSMA pada tahun 2014 itu berkata, akta-akta tersebut sekiranya digunakan pada masa serta individu yang betul sememangnya perlu.

“Walaupun saya pernah ditahan, saya lihat akta itu mampu membendung aktiviti keganasan terutamanya yang melibatkan keselamatan negara, mungkin hanya perlu ditambah baik, namun bukan dimansuhkan terus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadhan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) bersama bekas tahanan militan di Hotel Seri Pacific di sini semalam.

Menurut Afy, berada di dalam tahanan selama 28 hari memang mendatangkan kesan mendalam terhadapnya, lebih-lebih lagi apabila dia mendakwa tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti militan.

“Apa yang berlaku selama 28 hari itu pada mulanya menimbulkan rasa marah, kesal dan sedih, namun selepas saya dibebaskan saya lebih faham mengapa ia wujud.

“Saya disyaki terlibat dengan aktiviti militan kerana kerap mengikut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke negara bergolak seperti Syria, dan ketika ditahan di Sabah, mereka syak saya mahu ke Selatan Filipina untuk menyertai kumpulan militan di sana,” ujarnya.

Bagaimanapun, sumber polis berkata, siasatan awal mengesahkan Afy ditahan kerana pernah terlibat dalam mengikuti usrah kendalian Dr. Mahmud Ahmad, iaitu anggota kanan Daesh yg terbunuh di Selatan Filipina.

“Ketika ditangkap di Sabah, kita syaki dia mahu ke Selatan Filipina untuk menyertai sel Daesh Mahmud.

“Kita percaya penahanan tersebut telah menyedarkan dia bahawa aktiviti kumpulan IS memang mengancam keselamatan negara dan kita juga yakin dia bersyukur apabila tidak terlanjur menyertai Mahmud,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE, 19/5/2019