Kementerian dalam kenyataan memberitahu, pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 telah dicadangkan berdasarkan prinsip yang selari dengan C87.

“Kemungkinan MTUC telah melupakan pendiriannya sendiri yang menolak prinsip C87, kebebasan yang boleh membawa kepada perpecahan kesatuan di tempat kerja.

“Dengan meratifikasi C87 bermakna perlu patuh terhadap semua prinsip konvensyen itu. MTUC tidak boleh memilih dengan meminta kerajaan meratifikasi C87 sementara mereka sendiri membantah prinsip yang ada di dalamnya,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Khamis lalu, Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon yang bercakap pada persidangan ulang tahun ke-100 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva meminta pusat buruh global PBB berusaha sedaya-upaya agar Malaysia meratifikasi C87.

Tambah kenyataan itu, kementerian telah mengadakan perbincangan secara meluas dengan pihak berkepentingan mengenai pembaharuan undang-undang buruh.

“Malah, kementerian dengan bantuan ILO di Kuala Lumpur telah mendapatkan perkhidmatan pakar C87, yang terpaksa terbang dari Geneva, untuk menjelaskan dan membantu mengaplikasikan prinsip C87,” kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE,21/6/2019