Friday, February 17, 2012

MTUC sokong cadangan lanjut usia bersara (Sinar Harian) - tetapi??

Tetapi persoalan yang perlu ditanya..

a) Memandangkan lebih ramai pekerja di Malaysia kini bekerja berasaskan kontrak jangkamasa tetap/pendek, adakah penambahan usia persaraan akan bermakna kepada mereka apabila majikan boleh bila-bila enggan memasuki kontrak baru dengan pekerja ini? Jaminan perlu diberikan kepada pekerja kontrak  jangka masa tetap/pendek bahawa (a) apabila tempoh kontrak tamat, majikan HARUS menawarkan kontrak baru kepada pekerja lama ini dan tidak sewenang-wenangnya memasuki kontrak baru dengan pekerja baru, dan (b) kontrak pekerjaan sedemikian seterusnya mesti terus ditawarkan sehingga tarikh usia bersara baru ini.

b) Memandangkan lebih ramai pekerja kini bukan lagi 'employee'(pekerja) kilang/ladang tempat mereka bekerja tetapi adalah pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor luar ('contractor for labour'), Jaminan yang harus diberikan kepada mereka juga adalah:- (a) Bahawa lanjutan usia bersara juga akan terpakai untuk mereka,  dan juga (b) Bahawa majikan mereka tidak akan mengunakan taktik lain saperti memindahkan mereka ke tempat kerja lain jauh daripada tempat kerja kini sedia ada untuk memaksa pekerja menamatkan kontrak dan oleh kerana itu melepaskan diri dari obligasi memberikan kerja sehingga usia bersara yang bakal ditetapkan undang-undang negara.

MTUC harus jangan lupa bahawa mereka adalah wakil semua pekerja di Malaysia, kini dan pada masa akan datang, bukan sahaja pekerja yang kini ahli kesatuan yang menjadi ahli MTUC.




Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik cadangan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam supaya umur persaraan bagi kakitangan swasta dilanjutkan kepada 64 tahun dan had bersara mandatori pada usia 60 tahun.

Presidennya, Mohd Khalid Atan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana ia dapat membantu menampung kos sara hidup yang kian meningkat.

Menurutnya, seorang pekerja tidak perlu menunggu sehingga usia 64 tahun untuk bersara, sebaliknya keputusan untuk bersara awal bergantung kepada mereka.

 “Secara purata, 50 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya menerima RM50,000 sahaja selepas bersara pada umur 55 tahun. Dengan cadangan melanjutkan had mandatori usia bersara kepada 60 tahun, simpanan KWSP akan bertambah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ketika ditanya mengenai kesan negatif terhadap peluang pekerjaan kepada lepasan pelajar jika skim saraan ini dinaikkan, berkata, peluang pekerjaan masih banyak di Malaysia dan banyak kekosongan jawatan dalam sektor awam dan swasta.

Katanya, faktor kekurangan peluang pekerjaan bukan alasan cadangan ini menghalang mereka untuk mendapatkan kerja.

“Cadangan melanjutkan umur persaraan yang akan dibentangkan tidak mendatangkan masalah, malah ia bertujuan membantu pekerja untuk berdepan dengan keadaan ekonomi negara yang semakin pesat membangun.

“Perkara ini dapat diatasi sekiranya majikan mengurangkan pengambilan pekerja warga asing di negara ini. Dengan cara ini, peluang pekerja akan lebih meluas serta dapat kurangkan pengangguran,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, setakat ini caruman KWSP masih kekal seperti biasa.

“Tiada sebarang pertukaran kepada prosedur caruman (KWSP) yang diubah ketika ini. KWSP akan memaklumkan kepada majikan jika terdapat sebarang perubahan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

No comments: