Sunday, February 19, 2017

Keadilan boleh dicapai pekerja jika ada kesangguppan berjuang? Sumbangan KWSP?

Jika mahu berjuang untuk hak asasi dan keadilan, pekerja boleh berjaya...Bila hak dicabul, merunggut sahaja tidak menyelesaikan masalah...yang penting adalah terus berjuang sehingga keadilan di capai...

Di dalam kes, majikan gagal membayar sumbangan KWSP ...dan satu halangan menjadi surat keluaran KWSP sendiri ...kebanyakkan orang akan terus 'menyerah' kerana KWSP sendiri nampaknya menyatakan majikan tak buat salah....tetapi pekerja ini teruskan perjuangan...dan akhirnya mencapai kemenangan...surat KWSP itu tidak menyatakan apa yang benar..

"..Majikan telah menggunakan surat daripada pegawai KWSP sebagai kata muktamad dalam rundingan itu. Dalam surat tersebut, pegawai KWSP menyokong tindakan majikan yang menegaskan perkongsian untung yang dibayar tidak perlu dicarumkan dalam KWSP. Apabila pihak pekerja membawa surat itu ke KWSP cawangan Batu Caves sebagai tujuan pengesahan, pihak pegawai di sana menekankan bahawa surat berkenaan tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ianya bercanggah sama sekali dengan akta KWSP..."
In satu contoh bagaimana perjuangan bukan senang tetapi jika kita teruskan perjuangan dengan keyakinan tanpa perasaan takut...keadilan boleh dicapai. Perjuangan seorang mungkin senang ditangkis - tetapi perjuangan yang mempunyai sokongan dan solidariti ramai...sukar diketepikan. 

Tak ada kesatuan sekerja, tetapi pekerja kilang ini telah 'Organize" dan berjaya ramai pekerja untuk berjuang mendapatkan keadilan dan akhirnya dapat...

Pengalaman ini memberikan kita inspirasi ...memberikan kita keyakinan bahawa bukan mustahil menang dalam perjuangan menentang majikan atau mereka kuat...Hanya perlukan komitmen dan kesanggupan akan berjuang bersungguh-sungguh, tanpa takut ... 




Pekerja Kilang Ais Meraikan Kemenangan

Pekerja Kilang Ais Meraikan Kemenangan

Posted by trotsky1917
PEKERJA KILANG ATLAS EDIBLE AIS DI KEPONG DAN BATU CAVES MERAIKAN KEMENANGAN DALAM PERJUANGAN MENUNTUT CARUMAN KWSP KE ATAS KOMISEN
Hampir RM800,000 berjaya dituntut oleh 100 pekerja Kilang Atlas Edible Ais di Kepong dan Batu Caves!

RM5 juta yang dilesapkan oleh majikan daripada 23 cawangan Kilang Atlas Edible Ais di Lembah Kelang, Selangor dan Negeri Sembilan berjaya dituntut!

Lebih 1000 pekerja daripada 23 cawangan mendapat manfaat.

Pemotongan bulanan caruman KWSP untuk komisen berjaya dituntut!

Dengan solidariti dan kepimpinan yang mantap, pekerja mampu menang!

Pada 18hb. Februari yang lalu, Persatuan Pekerja Kilang Atlas Edible Ais Kepong dan Batu Caves menganjurkan majlis jamuan di perkarangan kilang untuk meraikan kemenangan mereka dalam perjuangan menuntut hak ke atas pemotongan caruman KWSP ke atas komisen.

Pada bulan Ogos 2016, pihak KWSP telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Pekerja Atlas Ais Kepong dan Batu Caves bahawa majikan Kilang Atlas Edible Ais telah didapati bersalah akibat tidak mencarum KWSP untuk komisen, dan dengan itu KWSP akan menuntut supaya pembayaran caruman tidak dibayar selama ini dibayar balik ke tabung KWSP pekerja.

Ini adalah kejayaan kepada perjuangan pekerja Atlas Ais di cawangan Kepong dan Batu Caves, hasil pembinaan solidariti pekerja, serta perjuangan mereka untuk mendedahkan penipuan serta menuntut hak pekerja. Kejayaan ini juga memberikan manfaat kepada pekerja Kilang Atlas Edible Ais di cawangan-cawangan yang lain.

Dengan kejayaan ini, KWSP telah memaklumkan bahawa majikan akan membayar hampir RM800,000 ringgit ke tabung KWSP pekerja untuk seramai 100 orang pekerja Atlas Ais di Kepong dan Batu Caves. Pihak KWSP juga telah memaklumkan bahawa mereka juga telah menuntut majikan kilang Atlas Ais untuk membuat pembayaran hampir RM5 juta untuk 23 cawangan lain di kawasan Lembah Kelang dan Negeri Sembilan.

Kejayaan ini juga telah merangsang pekerja Kilang Atlas Edible Ais menubuhkan Jawatankuasa pekerja serta Persatuan Pekerja untuk terus membina solidariti pekerja serta memperjuangan hak dan kebajikan pekerja. Sosialis Alternatif telah bersama dengan pekerja Atlas untuk membina dan memantapkan perjuangan tersebut.

LATAR BELAKANG PERJUANGAN

Kejayaan ini adalah susulan daripada protes dan aduan pekerja di KWSP pada bulan Jun 2016 yang lepas, di mana lebih 80 pekerja Atlas Edible Ice Sdn Bhd, cawangan Kepong dan Batu Caves turun untuk membantah komplot majikan dan pegawai KWSP dalam penipuan ke atas caruman KWSP ke atas komisen. Dengan berbekalkan sepanduk, kain rentang seperti “Lebih 20 Tahun Majikan Tipu Pekerja”, “Jutaan Ringgit Dari Akaun KWSP Pekerja Lesap “ dan sebagainya, para pekerja turun membantah komplot dan penipuan majikan di Bangunan Ibu Pejabat KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Para pekerja yang terlibat adalah terdiri daripada pemandu dan pembantu lori yang memasarkan dan menghantar ais ke seluruh restoran di sekitar Lembah Klang. Dengan penghantaran an pemasaran ais, mereka akan memperoleh komisen berdasarkan jumlah jualan harian (dalam tan). Manakala bayaran komisen pula akan dibuat secara bulanan berdasarkan jumlah berat yang terkumpul.

Seksyen 2 Akta KWSP menetapkan bahawa “Semua saraan dalam bentuk wang yang kena dibayar kepada pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan sama ada ia dipersetujui untuk dibayar secara bulanan, mingguan, harian atau selainnya. Antara bayaran yang dikenakan caruman KWSP: Gaji , Bayaran bagi cuti rehat tahunan dan cuti sakit yang tidak digunakan, Bonus, Elaun, Komisen, Insentif, Tunggakan upah, Upah bagi cuti bersalin, Upah bagi cuti belajar, Upah bagi cuti separuh gaji dan bayaran-bayaran lain di bawah kontrak perkhidmatan atau sebaliknya.”

Namun, selama ini majikan di Atlas Edible Ice tidak membuat caruman untuk komisen berkenaan. Tambahan pula, majikan dengan sengaja menukar dari komisen ke ‘perkongsian untung’ hanya selepas tahun 2006 tanpa pengetahuan pekerja sedangkan bidang pekerjaan masih sama. Tindakan tersebut menjelaskan bahawa majikan bukan sahaja tidak mencarum, malah satu penipuan yang dirancang teliti telah berlaku sekian lama.

Isu penyelewengan yang sama juga pernah berlaku di Atlas cawangan Nilai, dan akibat didesak oleh para pekerja Nilai akhirnya majikan bersetuju untuk membuat pembayaran secara tunai. Majikan terpaksa membuat perjanjian pembayaran secara tunai pada November 2015 terhadap duit caruman KWSP ke atas komisen yang tidak dibayar dengan syarat perkara itu tidak tersebar ke cawangan Atlas lain. Akibat pendedahan dan tuntutan pekerja Atlas Nilai, majikan juga telah mula mencarum KWSP untuk komisen di Atlas cawangan Nilai pada bulan Mei 2015, dan di cawangan-cawangan lain pada bulan Oktober 2015.

Malangnya, para pekerja turut mendapati terdapat usaha komplot dalaman daripada pegawai KWSP dengan pihak majikan. Para pekerja Kepong dan Batu Caves telah melakukan dua rundingan dengan majikan mengenai caruman yang tidak dibayar. Majikan telah menggunakan surat daripada pegawai KWSP sebagai kata muktamad dalam rundingan itu. Dalam surat tersebut, pegawai KWSP menyokong tindakan majikan yang menegaskan perkongsian untung yang dibayar tidak perlu dicarumkan dalam KWSP. Apabila pihak pekerja membawa surat itu ke KWSP cawangan Batu Caves sebagai tujuan pengesahan, pihak pegawai di sana menekankan bahawa surat berkenaan tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ianya bercanggah sama sekali dengan akta KWSP.

Walaupun para pekerja menyatakan kesahihan surat itu boleh dipertikaikan, majikan tetap berkeras menganggap ianya adalah muktamad dan menggelak untuk bertanggungjawab terhadap caruman pekerja. Yang dikesali, pegawai KWSP yang sepatutnya berada di pihak pekerja dalam membuat keputusan tetapi tidak berbuat demikian dan berkomplot dengan pihak majikan dalam penipuan ke atas duit saraan hari tua pekerja.

Justeru itu, pihak pekerja mendesak pihak KWSP menyiasat pegawai yang mengeluarkan surat tersebut dan tindakan yang tegas diambil terhadap majikan yang ingkar dan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan. Jawatankuasa pekerja juga telah membawa isu ini untuk perhatian dan tindakan SPRM, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Biro Pengaduan Awam, Suhakam dan MTUC. Akibat tindakan dan tuntutan pekerja, pihak KWSP telah membuat siasatan terhadap aduan pekerja dan memutuskan bahawa majikan bersalah dan pembayaran harus dibuat ke tabung pekerja oleh majikan.

Kejayaan ini menjelaskan bahawa pekerja mampu menang jika bersatu di bawah sebuah kepimpinan yang bertindak untuk hak dan kebajikan pekerja. Syabas kepada Jawatankuasa pekerja dan semua warga pekerja Atlas Kepong dan Batu Caves yang berjaya menegakkan hak pekerja. Perjuangan seumpama ini mampu dibina oleh para pekerja lain dengan membina solidariti dan kepimpinan pekerja. Kesatuan sekerja yang masih lemah di negara ini juga harus dibina melalui pembinaan kepimpinan yang memihak kepada pekerja serta penglibatan secara aktif dalam perjuangan pekerja.

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH…MANTAPKAN KEPIMPINAN DAN ORGANISASI PEKERJA, TERUSKAN PERJUANGAN!

Sumber: Laman WebSosialis Alternative

No comments: