2 Immigration Officers found guilty for the killing of an undocumented migrant worker
2 pegawai imigresen bunuh Bangla dihukum mati
Mohd Aminuddin Mohd Yasin, 35, dan Zuhairul Effendey
Zulkafli, 35, didapati bersalah membunuh pendatang asing tanpa izin Abu
Bakar Siddiqe di pantri pejabat Imigresen di Perlis.
KANGAR: Dua pegawai Jabatan Imigresen Perlis dijatuhi hukuman gantung
sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati
bersalah membunuh seorang tahanan warga Bangladesh pada 2014.
Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar menjatuhi hukuman itu terhadap
Mohd Aminuddin Mohd Yasin, 35, dan Zuhairul Effendey Zulkafli, 35,
selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah
terhadap kes pendakwaan.
Kedua-dua tertuduh didapati bersalah membunuh pendatang asing tanpa
izin Abu Bakar Siddiqe, 45 di pantri pejabat Imigresen, Kompleks
Kementerian Dalam Negeri di sini antara 10 malam dan 11 malam pada 29
Oktober 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
gantung sampai mati.
Abu Bakar dalam keputusannya berkata mahkamah meneliti semua inti
pati kes pendakwaan dan menimbangkan pembelaan secara mendalam.
“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan tiada keraguan munasabah
terhadap kes tersebut yang membawa hukuman mati mandatori, dan segala
bukti pembelaan dan kenyataan tertuduh hanyalah bersifat penafian
semata-mata,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu.
Kedua-dua tertuduh pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi
Kangar pada 1 Oktober 2015, di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil
membela diri terhadap pertuduhan itu.
Pihak pendakwaan kemudiannya merayu ke Mahkamah Rayuan, dan mahkamah
itu membenarkan rayuan serta memerintahkan kedua-dua tertuduh membela
diri atas pertuduhan itu.
Mengikut fakta kes, mangsa yang mengadu sakit gastrik dan meminta
ubat daripada pihak imigresen dibawa keluar dari lokap untuk ke pantri
oleh tertuduh dan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tertuduh
sedang memegang kayu panjang.
Sebaik kembali ke lokap, mangsa memberitahu rakannya di dalam sel dia
sakit kerana dipukul anggota Imigresen sambil menunjukkan kesan
kecederaan, sedangkan sebelum ke pantri mangsa tidak cedera.
Beberapa hari kemudian kecederaan mangsa semakin parah, lalu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 4 November 2014 dan hasil bedah siasat mengesahkan sebab kematian ialah “multiple blunt force trauma due to soft tissues injuries”.
Ketika Abu Bakar menjatuhkan keputusan itu, kedua-dua tertuduh
kelihatan tenang, tetapi ahli keluarga dan rakan sekerja kedua-duanya
yang turut hadir dilihat menangis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad
manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamatullah Baharudeen.- FMT News, 3/3/2017
No comments:
Post a Comment