Wednesday, April 14, 2021

Syarikat balak tarik balik prosiding hina Mahkamah terhadap penduduk kampung, peguam(Malaysiakini)

 

BERITA
facebook sharing button
twitter sharing button
sharethis sharing button

Syarikat balak tarik balik prosiding menghina terhadap penduduk kampung, peguam

Annabelle Lee

Diterbitkan

Dua syarikat pembalakan menarik balik permohonan mereka untuk prosiding menghina terhadap lapan penduduk Kampung Baharu, Jerantut dan peguam mereka, demikian dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Ini sebelum Hakim Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan mengenai permohonan prosiding penghinaan oleh syarikat Beijing Million Sdn Bhd dan Rosah Timber & Trading Sdn Bhd.

"Peguam pemohon memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menarik balik permohonan kebenaran ex-parte untuk memulakan prosiding penghinaan," kata M Ramachelvam, peguam yang mewakili penduduk kampung dan peguam Charles Hector Fernandez.

"Permohonan ex-parte (prosiding penghinaan) didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi pada 8 April," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, peguam bagi pihak pemohon menyatakan penduduk kampung dan Fernandez telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah kerana mengeluarkan surat kepada Pegawai Hutan Jerantut.

Ramachelvam (gambar, bawah) berkata, pemohon mendakwa ini melanggar perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap penduduk kampung.

"Kami berhujah bahawa permohonan kebenaran perintah ex-parte tidak memenuhi syarat undang-undang dan prosedural untuk izin diberikan supaya memulakan prosiding penghinaan terhadap nama-nama (contemnors) yang dicadangkan itu," katanya.

Prosiding penghinaan itu dimulakan susulan surat yang dikirimkan oleh Fernandez kepada seorang pegawai Pejabat Perhutanan Jerantut pada bulan Disember lalu bagi pihak anak guamnya sebagai persiapan untuk kes saman syarikat balak itu.

Syarikat pembalakan terbabit berpendapat bahawa surat tersebut merupakan pelanggaran perintah injuksi yang mereka perolehi sebelum ini, yang melarang para defendan menghalang akses ke kawasan yang dipertikaikan itu.

Syarikat berkenaan menyaman penduduk kampung kerana membuat tuduhan secara dalam talian mengenai aktiviti pembalakan mereka.

Kata syarikat terbabit, mereka mempunyai semua izin yang diperlukan untuk mengeluarkan hasil hutan. 

Penduduk kampung pula berpendapat mereka berhak untuk membantah pembalakan kerana mereka bergantung pada kawasan hutan tersebut sebagai sumber penghidupan.

Peguam Jacob Goldie mewakili pihak pemohon dua firma pembalakan itu. Ong Siew Wan hadir sebagai peguam pemerhati Badan Peguam Malaysia, manakala peguam kanan persekutuan Mohd Azlan Shah mewakili kerajaan negeri Pahang. - Malaysiakini, 14/4/2021


No comments: