PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan serta gabungan kesatuan sekerja dari pelbagai sektor hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung masalah pemberhentian pekerja dan hak untuk berkesatuan.

Pengerusi MTUC Selangor Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah menyerahkan memorandum mengandungi 12 saranan itu kepada pegawai urusetia Perdana Menteri, Nik Mohamed Hussein Nik Ali di Perdana Putra di sini.

Memorandum berkenaan antara lain meminta kerajaan menubuhkan jawatankuasa pekerja di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menjalankan kajian terperinci demi jaminan pekerjaan dan kebajikan pekerja, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Terdahulu, Wan Noorulazhar dan 200 pekerja dari pelbagai sektor dan persatuan sekerja menyertai 'Workers Walk' dari Masjid Putra hingga ke hadapan balai pengawal bangunan Perdana Putra sebelum dibenarkan memasuki bangunan itu, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri. - Bernama - Sinar Harian, 18/10/2016

Selasa, 18 Oktober 2016 @ 9:35 PM

MTUC harap Bajet 2017 ambil kira kebajikan pekerja 
Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Selangor dan Wilayah Persekutuan berarak dari masjid Putra ke perkarangan Bangunan Perdana Putra dalam acara Workers Walk 2016 untuk menyerahkan memorandum berkaitan isu pekerja kepada Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengambil kira beberapa insentif berkaitan hak dan kebajikan pekerja dalam pembentangan Bajet 2017 Jumaat ini.

Pengerusi MTUC, Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah, berkata MTUC hanya mahu kerajaan bersikap prihatin terhadap kebajikan pekerja dan menghormati hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, pihaknya menganjurkan 'Workers Walk' hari ini di mana kira-kira 200 ahli MTUC berjalan dari Masjid Putra hingga pekarangan Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di Presint 1, bagi menyerahkan memorandum mengandungi 10 tuntutan kesatuan itu.

Wan Noorulazhar berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri akan mengambil maklum kandungan memorandum berkenaan isu pekerja itu dan akan ada berita baik dalam pengumuman Bajet 2017 nanti.

"Ada beberapa perkara yang kita usulkan dalam memorandum berkenaan, antaranya hak untuk berkesatuan, memansuhkan sekatan yang menzalimi pekerja selain memastikan keadilan kepada pekerja.

"Pada masa sama, kita turut membangkitkan isu amalan buruh yang tidak adil, pelaksanaan tabung pemberhentian kerja dan amalan penyumberluaran (outsourcing) selain mencegah penidasan, diskriminasi serta eksploitasi pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada pegawai khas Perdana Menteri, Nik Mohamed Hussein Nik Ali, di sini hari ini.

Wan Noorulazhar berkata, MTUC sebagai kesatuan, sentiasa membangkitkan isu pekerja, namun tidak mendapat pembelaan atau maklumat mengenai isu yang sudah diselesaikan oleh kerajaan.

"Itulah hasrat utama kami, untuk membela pekerja.

Atas sebab itu juga kami hadir di sini untuk menyerahkan memorandum supaya pekerja tidak lagi ditindas oleh sesiapa dan mendapat maklum balas secara terus mengenai apa yang kerajaan lakukan untuk warga pekerja," katanya.- Berita Harian, 18/10/2016

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/203536